SHAH ALAM, 22 OKT: Lima kawasan di Selangor kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 10 pagi ini, dengan Klang dan Petaling Jaya mencatat bacaan tertinggi iaitu 155.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia merekodkan IPU 154 diikuti Shah Alam (152) dan Banting (130).
Sementara itu Nilai antara 15 kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat serta IPU tertinggi iaitu 164 selain Seremban (155) dan Port Dickson (151).
IPU tidak sihat turut direkodkan di Melaka membabitkan Bukit Rambai (158) dan Bandaraya Melaka (136), manakala di Johor melibatkan Tangkak (153) serta Pasir Gudang (110).
Di Kuala Lumpur, dua kawasan merekodkan IPU tidak sihat iaitu Batu Muda (153) dan Cheras (136) manakala Putrajaya (140).
Sementara itu, APIMS melaporkan 50 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala hanya tiga kawasan kekal pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.









