Kematian murid tahun satu: Yayasan MBI harap siasatan dipercepat

21 Okt 2026, 6:16 AM
Kematian murid tahun satu: Yayasan MBI harap siasatan dipercepat
Kematian murid tahun satu: Yayasan MBI harap siasatan dipercepat

KLANG, 21 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI berharap siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, termasuk kemungkinan wujud unsur kecuaian.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata siasatan menyeluruh penting bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti, sekali gus mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

“Sekiranya siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tercekik makanan, pihak sekolah boleh meneliti jenis makanan yang dibawa masuk bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Ahmad Azri berkata pihaknya akan menziarahi keluarga Allahyarhamah Derma Damiya Nur Mikayla Mior Shahrizal, 7, dalam masa terdekat bagi menyampaikan sumbangan serta memberikan sokongan kepada waris.

Menurutnya, arahan berkenaan diberikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pihak yayasan mengetahui kejadian itu melalui laporan yang tular di media sosial.

“Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) sudah meminta saya menziarahi keluarga Allahyarhamah dan menyampaikan sedikit sumbangan. Kita akan laksanakan dalam masa terdekat.

“Kita turut bersimpati dengan pemergian arwah dan berharap keluarga tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian.

Terdahulu, media melaporkan Derma Damiya Nur Mikayla mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di SK Dengkil sebelum diberikan bantuan pernafasan awal di lokasi kejadian.

Murid berusia tujuh tahun itu kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.