SHAH ALAM, 4 NOV: Purata penggunaan petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi setiap pengguna hanyalah 98 liter sebulan sepanjang Oktober lalu, jauh lebih rendah berbanding had kelayakan 300 liter yang ditetapkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu bersamaan 33 peratus daripada had maksimum subsidi bulanan yang ditawarkan kerajaan kepada penerima BUDI95.
“Adakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja iaitu 33 peratus daripada kelayakan.
“Mereka yang menggunakan lebih 300 liter pula hanya mewakili 0.7 peratus daripada keseluruhan penerima,” katanya ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan sedang meneliti keperluan menaikkan had subsidi BUDI95 untuk pemandu e-hailing daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan selepas menerima maklum balas daripada kumpulan terbabit.
“Untuk Oktober, kita naikkan had daripada 300 kepada 600 liter untuk 58,000 pemandu e-hailing aktif yang layak.
“Namun, ada yang masih merasakan jumlah itu belum mencukupi. Jadi, kerajaan sedang mengkaji untuk menambah had kelayakan kepada 800 liter sebulan bagi mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Program BUDI95 yang dilaksanakan sejak Oktober lalu bertujuan menyasarkan subsidi petrol secara lebih berkesan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa menjejaskan kestabilan fiskal negara.







