El Nino: Bomba Selangor siap siaga hadapi kebakaran terbuka

22 Okt 2026, 2:00 AM
El Nino: Bomba Selangor siap siaga hadapi kebakaran terbuka
El Nino: Bomba Selangor siap siaga hadapi kebakaran terbuka
El Nino: Bomba Selangor siap siaga hadapi kebakaran terbuka

SHAH ALAM, 22 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mempertingkat kesiapsiagaan anggota serta aset operasi bagi menghadapi risiko kebakaran terbuka susulan fenomena El Nino.

Pengarahnya, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata kawasan belukar, hutan, ladang dan tanah gambut dijangka lebih terdedah kepada kebakaran berikutan keadaan cuaca panas dan kering.

“Keadaan vegetasi yang semakin kering menyebabkan api lebih mudah merebak. Bagi kawasan gambut, kebakaran menjadi lebih sukar dikawal kerana api berpotensi merebak di bawah tanah serta memerlukan tempoh pemadaman yang lebih panjang.

“Risiko turut meningkat sekiranya aktiviti pembakaran terbuka dilakukan tanpa kawalan atau terdapat sumber pencetus seperti puntung rokok, pembakaran sisa pertanian dan sampah,” katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Dato' Wan Md Razali Wan Ismail. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, Wan Md Razali berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Selangor akan memastikan anggota dan aset operasi sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum, khususnya di lokasi berisiko tinggi.

Menurutnya, jabatan itu turut mengenal pasti sumber air strategik bagi memastikan kelancaran operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran.

“Kita mengambil inisiatif untuk mengenal pasti sumber air alternatif berhampiran kawasan berisiko serta melaksanakan penyelarasan dengan agensi berkaitan sekiranya berlaku kekurangan sumber air,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan dan berpotensi mencapai tahap ‘super’ atau sangat kuat mulai bulan ini hingga Januari 2027.

Beliau dilaporkan berkata analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mendapati Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena itu boleh menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.