SHAH ALAM, 6 APRIL: Langkah penjimatan dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sahaja mengurangkan kos bahan api, malah meningkatkan kecekapan pengurusan dan kesiapsiagaan operasi.
Pengarah JBPM Selangor, Dato' Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya telah menyusun semula pergerakan logistik, mengoptimumkan jadual operasi serta menggalakkan penggunaan mesyuarat secara dalam talian.
Menurut beliau, langkah itu dilaksanakan selaras dengan arahan penjimatan bahan api oleh ibu pejabat yang disambut baik oleh pihaknya.
“Kita sentiasa komited untuk melaksanakan arahan tersebut dengan mengurangkan penggunaan kenderaan bagi urusan tidak kritikal tanpa menjejaskan tahap kesiapsiagaan operasi.
“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos bahan api, malah meningkatkan kecekapan pengurusan dan semua jentera serta anggota operasi akan terus bersedia sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap sebarang kecemasan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menegaskan, walaupun langkah penjimatan dilaksanakan, keselamatan rakyat tetap menjadi keutamaan dan setiap panggilan kecemasan akan terus diberi tindak balas segera tanpa kompromi.
Terdahulu, JBPM mengumumkan beberapa langkah penjimatan termasuk mengehadkan pergerakan kenderaan tidak kritikal susulan isu bekalan dan kenaikan kos bahan api.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pendekatan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan diesel dan petrol tanpa menjejaskan kesiapsiagaan operasi.
Menurut beliau, semua pengarah negeri turut diarahkan menyusun semula program jabatan, termasuk aktiviti pendidikan awam agar dapat dilaksanakan dengan lebih efisien serta meminimumkan penggunaan kenderaan.









