KLANG, 18 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai lebih peka terhadap tanda awal jangkitan influenza berikutan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun disahkan meninggal dunia akibat komplikasi penyakit itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang 16 Oktober lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), mangsa mula menunjukkan simptom demam, batuk dan cirit-birit sejak 14 Oktober sebelum dilaporkan semakin lemah dan tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Oktober.
“Pesakit dibawa ke klinik swasta berdekatan dalam keadaan tidak bernafas dan tiada tanda vital. Pasukan klinik telah memulakan bantuan kecemasan (CPR) dan menghubungi ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut di HTAR, namun pesakit disahkan meninggal dunia sejurus tiba,” kata kenyataan itu.
Ujian saringan influenza yang dijalankan klinik swasta atas permintaan keluarga menunjukkan keputusan positif Influenza.
Bagaimanapun, tiada bedah siasat dijalankan memandangkan tiada arahan daripada pihak polis, dan penentuan punca kematian akan dinilai semula oleh Jawatankuasa Mortaliti bagi mengesahkan diagnosa sebenar.
KKM dalam pada itu menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi kehilangan berkenaan.
Dalam kenyataan sama, JKNS menjelaskan kebanyakan individu yang dijangkiti virus influenza akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
Namun, golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap penyakit kronik lebih mudah mengalami komplikasi serius seperti pneumonia atau radang otak yang boleh membawa maut.
“Rawatan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi. Orang ramai dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam, batuk atau sesak nafas, serta elakkan tempat sesak dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.
JKNS turut memaklumkan kadar jangkitan influenza di Selangor menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya namun masih sejajar dengan trend nasional.
Pihaknya akan terus memantau situasi semasa melalui Pejabat Kesihatan Daerah dan memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi mengekang penularan penyakit itu di sekolah serta institusi pendidikan.
Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi KKM bagi mengelakkan kekeliruan.