SHAH ALAM, 19 OKT: Seramai 242 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Perancis disahkan selamat susulan rusuhan yang tercetus di beberapa bandar negara itu sejak Sabtu lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar terbabit turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan awam yang terjejas akibat rusuhan.
“Alhamdulillah, status 242 pelajar tajaan MARA di Perancis selamat dan mereka diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan-kawasan awam yang terbabit dengan rusuhan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan terhadap penunjuk perasaan di Paris, Lyon dan Strasbourg yang membantah kenaikan kos sara hidup di seluruh Perancis.
Kementerian Dalam Negeri Perancis dilaporkan merekodkan 140 aksi bantahan di seluruh negara menjelang tengah hari, membabitkan 32,800 peserta, manakala 166 individu ditahan.
Sehingga 170,000 penunjuk perasaan dijangka berhimpun di seluruh Perancis, termasuk antara 30,000 hingga 60,000 orang di Paris.









