KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kadar penebusan Baucar Buku MADANI 2026 mencapai 97.34 peratus setakat hari ini, melibatkan 2.17 juta murid daripada institusi pendidikan awam di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata sebanyak 5.59 juta naskhah buku telah dibeli menerusi platform Book Capital setakat pagi ini, dengan KPM menyasarkan kadar penebusan 100 peratus menjelang tamat tempoh pelaksanaan program itu pada 31 Okt ini.
“Sebanyak 2.23 juta murid daripada sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Tingkatan Enam layak menerima baucar bernilai RM100 seorang. Jumlah peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM230 juta pada 2026,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (HARAPANpar-Bangi) mengenai kadar penebusan Baucar Buku MADANI 2026, bilangan pelajar dan pengajar yang menerima manfaat serta limpahan ekonomi yang dijana berbanding 2024 dan 2025.
Mengulas pencapaian tahun sebelumnya, Wong berkata pelaksanaan program berkenaan pada 2024 memanfaatkan 3.57 juta penerima termasuk murid sekolah rendah tahun empat ke atas, dengan peruntukan RM287 juta yang merekodkan pembelian 7.8 juta naskhah buku.
Pada 2025 pula, beliau berkata program yang memberi tumpuan kepada warga pendidik menerusi Baucar Buku Guru MADANI memanfaatkan 428,027 pegawai perkhidmatan pendidikan, melibatkan peruntukan RM43 juta dan pembelian 1.55 juta naskhah buku.
“Secara keseluruhan, pelaksanaan Baucar Buku MADANI bagi tempoh 2024 hingga 2026 merekodkan pembelian terkumpul sebanyak 14.94 juta naskhah buku bernilai RM489.32 juta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang bertanya sama ada nilai baucar RM100 mencukupi serta cadangan membenarkan penebusan di kedai buku fizikal, Wong berkata jumlah bantuan itu adalah berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan ketika ini.
Mengenai mekanisme penebusan, beliau berkata pelaksanaan menerusi platform dalam talian membolehkan kementerian memastikan baucar digunakan untuk pembelian buku, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan seperti penukaran baucar fizikal kepada wang tunai.
“Apa yang kita dapat capai dalam tiga tahun ini adalah kosong peratus ketirisan dan 100 peratus ketelusan,” katanya.
Wong berkata pelaksanaan secara dalam talian turut memperluas akses bahan bacaan kepada masyarakat luar bandar, dengan beberapa kawasan Parlimen termasuk Beaufort, Beluran, Tenom, Bau, Julau, Kanowit, Lawas, Miri, Selangau, Subis dan Labuan telah mencapai kadar penebusan 100 peratus.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan akses kepada bahan bacaan tidak lagi terhad kepada kawasan bandar dan separa bandar, malah turut meliputi kawasan pedalaman.







