KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Kehadiran ramai golongan muda sebagai pembeli dan penjual buku di Pesta Buku Antarabangsa 2026 menunjukkan budaya membaca masih mendapat tempat dalam kalangan generasi berkenaan.
Tokoh Perbukuan Negara, Mohd Khair Ngadiron berkata perkara itu dapat dilihat sepanjang pesta berkenaan yang berlangsung selama 10 hari dari 29 Mei hingga 7 Jun lalu.
“Yang datang membeli buku ialah orang muda dan yang menjual buku juga orang muda,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, perkembangan teknologi tidak bermakna golongan muda meninggalkan buku sepenuhnya kerana masih terdapat kelompok yang menjadikan aktiviti membaca sebagai hobi.

Katanya, kecenderungan itu turut dapat dilihat menerusi dapatan "Programme for International Student Assessment (PISA) 2025" yang menurutnya menunjukkan skor membaca Malaysia meningkat lima mata berbanding 2022.
Mohd Khair berkata peningkatan berkenaan menunjukkan masih terdapat golongan yang mempunyai minat terhadap aktiviti membaca dan kelompok itu perlu terus diraikan.
Selain itu, katanya, Baucar Buku MADANI turut menjadi antara inisiatif yang menggalakkan pembelian bahan bacaan dalam kalangan generasi muda.
“Walaupun ada yang tidak menggunakan baucar tersebut, mereka memberikannya kepada orang lain. Baucar itu tidak boleh ditukar kepada wang ringgit, maka penerima tetap menggunakannya untuk membeli buku.
“Daripada situ kita boleh melihat bahawa buku masih mendapat tempat dalam generasi muda,” katanya.

Beliau berkata amalan membaca sering dikaitkan dengan perkembangan intelektual kerana membantu seseorang memperoleh ilmu serta berfikir dengan lebih jelas dan teratur.
Bagaimanapun, katanya, bahan bacaan tidak semestinya terhad kepada karya ilmiah kerana novel dan komik juga mempunyai peranan tersendiri kepada pembaca.
Menurut Mohd Khair, setiap individu berhak memilih bahan bacaan mengikut minat masing-masing tanpa mengehadkan aktiviti membaca kepada jenis buku tertentu sahaja.












