SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai 428,027 guru di seluruh negara mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menebus sepenuhnya Baucar Buku Guru MADANI 2025, sekaligus merekodkan 100 peratus penebusan menjelang 31 Oktober lalu.
Pencapaian ini menunjukkan sambutan luar biasa golongan pendidik terhadap inisiatif literasi nasional yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku (PKB) sebagai agensi pelaksana melalui platform Book Capital.
Melalui program ini, setiap guru menerima e-baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian bahan bacaan profesional, akademik dan umum secara digital.
Statistik PKB menunjukkan semua 428,027 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) telah menebus baucar masing-masing, manakala kadar pembelian buku turut melonjak kepada 99.74 peratus, berbanding hanya 89 peratus tahun lalu.
Secara keseluruhan, lebih 1.5 juta naskhah buku melibatkan 238,186 judul berjaya diedarkan menerusi penyertaan 670 penerbit dan penjual tempatan.
Antara buku paling laris dalam kalangan guru ialah AI GURU Siri 2: Rahsia PdP Lebih Hebat dan Meyakinkan karya Dr. Ihsan Ismail dan Abd Rahman Ali Bashah, terbitan Blink Book.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti semangat warga pendidik untuk terus menimba ilmu serta memperkukuh budaya membaca.
“Kejayaan 100% ini bukan sekadar angka, ia mencerminkan kecekapan sistem digital, sokongan KPM dan dedikasi rakan industri tempatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan rakan strategik dalam menjayakan program berkenaan.




