SHAH ALAM, 19 OKT: Penduduk Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat menggesa pihak berkuasa terus memantau pergerakan lori berat yang membawa bahan binaan ke tapak projek perumahan di kawasan itu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Ketua Kampung Kampung Seri Cheeding, Hamizam Eusoff berkata kira-kira 100 hingga 150 lori 12 tayar dianggarkan melalui jalan utama kampung itu setiap hari sejak awal Oktober.
Menurutnya, penduduk semakin bimbang apabila terdapat lori yang masih menggunakan laluan berkenaan sehingga jam 6.30 petang, sedangkan operasi sepatutnya berakhir sekitar jam 5 hingga 5.30 petang.
“Jalan ini turut digunakan murid sekolah, terutama ketika waktu pergi dan pulang sekolah, selain menjadi laluan harian penduduk untuk ke tempat kerja serta urusan lain.
“Dari segi faktor keselamatan itu yang kami bimbang. Pembangunan itu kami tak pernah menghalang, cuma penggunaan lori yang terlalu berat sampai 12 tayar. Boleh undang kemalangan juga selain jalan rosak.
“Selain itu, lori yang menunggu giliran untuk masuk ke tapak projek akan beratur di jambatan dan laluan utama, sekaligus menyebabkan laluan sempit yang pastinya boleh mengundang kemalangan,” katanya kepada Media Selangor.

Hamizam berkata penduduk pada awalnya dimaklumkan bahawa lori ke tapak projek akan menggunakan laluan Rimbayu, namun jalan utama kampung itu akhirnya digunakan selepas mendapat kebenaran Jabatan Kerja Raya (JKR).
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya mengemukakan aduan kepada JKR serta pihak berkaitan berhubung risiko keselamatan dan kemungkinan kerosakan jalan akibat pergerakan kenderaan berat.
“Memang mereka langgar waktu operasi. Tapi selepas aduan, ada tindakan dan sekarang nampaknya mereka sudah patuhi waktu operasi. Tapi diharap pihak berkaitan terus pantau,” katanya.
Beliau turut berharap lori yang membawa muatan berat menggunakan laluan alternatif sekiranya tersedia, manakala jalan utama kampung hanya digunakan ketika kenderaan tidak membawa muatan.
“Mohon sangat pengusaha lori ini menggunakan laluan altenatif lain selain laluan utama kampung jika ada muatan, selepas kosong keluar tapak projek boleh guna laluan utama demi keselamatan penduduk,” katanya.
Menurut beliau, penduduk juga dimaklumkan operasi lori akan dihentikan sementara antara jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada pergerakan murid sekolah.

Katanya, walaupun belum ada kemalangan dilaporkan setakat ini, langkah pencegahan perlu diutamakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Takkanlah kita nak tunggu sampai ada kemalangan. Jadi diharap JKR dan agensi berkaitan terus memantau operasi lori, termasuk memastikan waktu pergerakan dipatuhi serta langkah keselamatan dilaksanakan sepanjang kerja pembinaan,” katanya.
Terdahulu, penduduk Kampung Seri Cheeding menyuarakan kebimbangan di media sosial mengenai pergerakan lori berat di jalan utama kampung yang dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna jalan raya.







