Abang Johari: Kira-kira 30 calon GPS menang tanpa bertanding

28 Nov 2026, 4:45 AM
Abang Johari: Kira-kira 30 calon GPS menang tanpa bertanding
Abang Johari: Kira-kira 30 calon GPS menang tanpa bertanding

SHAH ALAM, 28 JUN: Kira-kira 30 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Bagaimanapun, Pengerusi GPS yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata jumlah sebenar kemenangan berkenaan masih belum disahkan.

Abang Johari yang turut diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda keyakinan rakyat terhadap pentadbiran GPS.

Katanya, kemenangan itu turut mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan negeri melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana terdapat tanda-tanda keyakinan rakyat Sarawak terhadap pentadbiran GPS dalam mengurus pembangunan negeri.

“Saya juga berterima kasih kepada rakyat Gedong kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus bekerjasama dalam melaksanakan pelan pembangunan sehingga 2030,” katanya, lapor Berita Harian.

Mengulas persoalan mengenai proses demokrasi susulan kemenangan tanpa bertanding, beliau menegaskan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang kekal menjadi keutamaan.

“Ia terpulang kepada rakyat untuk memberikan kepercayaan kepada parti yang mentadbir negeri. Alhamdulillah, nampaknya rakyat negeri ini mahukan pembangunan diteruskan, khususnya di Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata kesinambungan kestabilan politik mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing selain menggalakkan rakyat Sarawak mempergiat aktiviti ekonomi.

Beliau turut menghargai keputusan rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk tidak bertanding di Sarawak yang disifatkan mencerminkan persefahaman baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.