DUN Sarawak bubar 26 Oktober, beri laluan PRN Ke-13

23 Okt 2026, 8:00 AM
DUN Sarawak bubar 26 Oktober, beri laluan PRN Ke-13

SHAH ALAM, 23 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan perkara itu hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Wan Junaidi telah memperkenankan permohonan saya untuk membubarkan DUN dan Yang Dipertua Negeri, selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, telah memperkenankan supaya DUN dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri, Pilihan Raya Negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran itu, bagi membolehkan segala urusan berkaitan dilaksanakan.

“Dalam tempoh ini, kerajaan akan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi segala kehendak dan kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.

“Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Mandat semasa DUN Sarawak yang ketika ini mempunyai 82 kerusi, akan berakhir pada Februari 2027.

Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, GPS mencatatkan kemenangan besar apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi, sekali gus membolehkan GPS meneruskan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Abang Johari.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.