KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) memperkukuh kerjasama dengan pemain industri menerusi penglibatan langsung dalam pembangunan modul pendidikan bagi memastikan latihan kemahiran memenuhi keperluan sektor berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif STDC Dr Harizal Hamid berkata kerjasama itu penting bagi memastikan pembangunan tenaga kerja mahir dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar industri, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan di Selangor.
“Konsep utama kerjasama ini bukan sekadar mengambil penjenamaan industri, apa yang kita laksanakan adalah bagaimana industri tersebut bertanggungjawab dalam pembangunan modul pendidikan, memberi pengiktirafan dan persijilan,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurutnya, STDC sentiasa memperbaharui dan menambah baik modul pendidikan secara berterusan bagi memastikan latihan yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan semasa industri.

Beliau berkata Selangor Techsphere Summit (STS) 2026 berperanan sebagai platform penerokaan teknologi baharu, khususnya dalam sektor berpertumbuhan tinggi dan yang bernilai tinggi (high growth high value).
“Jadi penganjuran ini (STS) merupakan platform kerjasama antara industri, STDC, Kerajaan Negeri dan juga pihak yang terlibat dalam ekonomi migrasi dan juga adaptasi teknologi baru.
"Langkah utama kita adalah bagaimana kita membawa ataupun jaringan kerjasama dengan industri menjadi salah satu daripada elemen utama,” katanya.
Dr Harizal berkata penglibatan pemain industri secara langsung membolehkan keperluan sektor masing-masing diambil kira dalam penyediaan latihan, sekali gus membantu melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian.
Katanya, pemain industri yang menyertai pameran STS turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan teknologi, kepakaran serta perkembangan terkini dalam sektor masing-masing.
“STDC sentiasa memperbaharui modul pendidikan agar kompetensi pelajar itu kompeten dan tidak menghadapi masalah jurang, ketidaksamaan, persijilan dan pendidikan dengan kehendak industri" katanya.










