Epigoni

17 Okt 2026, 12:31 AM
Epigoni

Oleh Nurimas SN

Ilustrasi Muizzah

Betul. Ambe tidak selalu duduk dalam majlis-majlis besar hok demo anjurkan. Juga tidak selalu mengunjungi parti sambutan hari kebesaran kroni demo. Pesta begitu padan dengan set-set mung dan saing-saing saja. Tidak rugi sikit pun ambe dok ikut.

Ambe pun tidak behi ngeteh di warung-warung kopi. Tidak suka sembang kencang di wakaf-wakaf sambil main dam kala petang. Ambe tidak galak bersengkang mata menonton perlawanan bola sepak, bangun dinihari. Atau duduk dari senja di padang astaka sampai malam, menghadap skrin gergasi. 

Ambe juga tidak mahu berlewah-lewah di pawagam untuk melihatkan aksi orang dalam panggung. Tidak betah berkarok di pusat-pusat jamming atau kios muzik. Tidak suka buang masa berjam-jam di kompleks beli-belah. Bukankah comel lagu tu? Jadi apa masalahnya? 

Adakah hanya dengan sebab itu demo anggap kita tidak sebulu. Atau mempunyai faham serta ideologi yang bertentangan dengan majoriti warga. Kalau hanya kerana itu, terserahlah. Ambe masih mampu mandiri tanpa ada kolaborasi penuh sangsi. 

Ambe pernah hidup galau selang beberapa tahun lewat kepergian kedua orang tua. Tiada mereka aku jadi kesepian mutlak. Rutin kerja jadi tunggang-langgang, berantakan. Hingga ada kalangan sahabat sudah mengumumkan ambe bakal mengalami kemurungan, gangguan emosi dan alah dalam perjuangan. Namun tidak sekali-kali. Ambe bukan daripada spesies begitu.

Ambe bangkit jadi lelaki tabah. Barangkali lebih utuh daripada jejambat gantung yang pertama di Malaysia. Yang boleh diubah suai dan memenuhi keperluan fleksibel. Ambe molek-molek ada. Tidak ada apa yang berlaku di premis paranormalku. Saing-saing pejabat turut kagum dengan torso ambe yang makin padat. Tanda tiada masalah pemakanan.

Ambe susup capal air mata dan ganti dengan sepatu berharga. Semuanya ambe lalui tanpa perlu bantuan dan simpati sesiapa. Ambe mapan mendepani cabaran seribu macam adu domba. Ambe tidak memohon suaka atau empati rejim pemerintahan mung untuk kembali bangkit.  Salahkah begitu, ambe menjadi diri sendiri? 

Benar. Ambe bukan anak jati tanah demo. Ambe didatangkan dari seberang, pilihan pascapengajian. Lahanku tidak memiliki semilir segara senyaman dan seindah tanahmu. Kerana kerencaman etnik populasi menyebabkan negeri kami sering berpolemik. Jalanan mobil tidak lancar seperti lebuh di sini, ada ketikanya macet dan sendat. 

Tanahmu persis inderaloka. Kedatangan pariwisata tidak pernah surut. Ada sahaja yang mampir meletakkan mimpi di sana. Meniduri bantal nikmat dan dibawa kembali ke tanah sendiri. Malah indeks kepuasan pengguna meletakkan tanah ini status tertinggi negeri paling bahagia!

Namun kadang-kadang aku kasihan kerana kedapatan para tetamu yang acap kena kencing. Bukan sekadar harga sarana yang melambung, bahkan ada premis niaga yang meletak harga di luar mimpi. Tapi mereka tidak tahu, malah semacam makin gembira berkali kena main. Ah, Sudah!

Setuju. Ambe tidak punya alibi untuk jadi tok jogho di sini. Tapi pewarisku sudah berakar umbi dan menjadi warga peribumi. Kami telah menyumbang nama untuk negeri dalam banyak versi. Malah kadang-kadang keringat yang tumpah jauh lebih banyak daripada peluh ratusan anak-anak jati di sini. Namun saing-saingmu tetap menganggap kami sebagai warga persona non grata. Alangkah sedihnya!

Ambe perasan kedatangan koloni kami semacam tidak disenangi. Ditambah dengan manipulasi para karyawan tempatan yang selalu mengeksploitasi kedudukan. Ambe akur dan sedar tentang itu. Namun sekali-kali tiada unsur dan niat monopoli. Ambe hanya utusan Allah di mana-mana buminya. Sedikit pun tidak mengurangi hak demo.  

Apa yang menyebabkan semua tidak puas hati?

Bukankah kita sama-sama berkongsi peranan dan tanggungjawab untuk membangun budaya dan etos watan ini. Biarpun ambe bukan anak peribumi namun darah zuriat ambe sudah bertasik di sini. Kaki kami sudah terpacak dan melekat di ardi ini. Malah atma kami telah diwariskan untuk legasi masa depan. Lebih futuristik, liang lahad sudah ambe tempah di sini.

Seluruh tenaga dan dapatan karyawan, ambe labur semula untuk anak tempatan. Zakat dan infak juga untuk bumi dan asnaf di sini. Bahkan segala pengorbanan sudah tertulis untuk residensi di sini. Sedang saing demo hanya ramai jadi pengguna dan penerima.

Ambe sanggup, malah lebih sanggup daripada gelandangan spesies kalian yang gentar untuk bermandi darah mempertahankan watanmu. Malah lebih tega berputih tulang memperjuangkan pertiwi daripada aneka pesona. 

Maaf bukan mengungkit tetapi orang akan mendiam jika tidak dibangkit!

***

Sesekali aku hanya istirahat, tumpang wuduk dan mengangkat takbiratul ihram di rumah Allah yang ghalibnya sunyi. Pemerintah tidak henti membina fasiliti.  Graha maknawi sentiasa terbuka untuk sesiapa. Tapi ramai yang tidak mendengar seruan untuk iktikaf. Lalu ambe terpanggil untuk mendakwah jemaah mengimarahinya.

Ambe meramahi asnaf yang selalu kami bantu. Lalu berbondong-bondonglah anak-anak daripada segala suku mendominasi majlis zikir. Meriah rumah Allah. Itu pula disalah tafsir. Ambe dicop  mengkuda mereka untuk melobi jadi Panitia Surau. Astaga!

Tapi tak mengapa. Ambe tak hairan pun. Kerana hidup kita ini memang berdagang, datang dengan kosong dan kembali pun nanti dengan kosong juga. Semua bukan milik kita. Tugas ambe hanyalah sebagai khalifah, macam set mung juga. Ambe berlalu membiarkan kalian berkleptoktrasi. Dan suara azan kembali menyepi. Jadi siapa yang harus puak demo salahkan?

Memang. Sukar untuk berbahagi kasih dan milik. Sukar mengatur bantal untuk sama-sama tidur, merencana mimpi yang serupa. Memang payah, pasti ada kekangannya. Percayalah aku bukan perampas dan pembuli, macam Belanda dapat tanah. Tapi hidup ini Tuhan amanahkan untuk berbahagi.

Ayuh, tolonglah berpada!

Ambe pasti ada yang tidak kena dengan jiwa demo. Kalian ketakutan dikejar bayang-bayang sendiri. Takut ada orang lain ambil alih milik dan proksi set mung. Tanah ini mahu demo bolot dan gala sendiri.  Ya, ambillah! Ambe tidak pernah kepingin semuanya. Kalau itu hak demo, ayuh diambil. 

Tapi kalian juga mesti berbahagi hak dengan semua. Mengapa mesti ambil hak ambe, hak orang lain juga yang punya idea bagus dan mulus. Membiarkan idea kami tandus di kolam gersang adalah pencabulan hak yang lebih kejam. 

Mengambil hak dengan menafikan idea kami berkembang. Walhal ada dalam kalangan idea itu amat futuristik. Kami menelaah diagnosis yang persis untuk mengekalkan budaya yang unik ini. Namun disalahertikan secara total. 

***

Ambe kepingin meladeni haluan demo. Tapi dalam beberapa hal, ambe juga pengikut yang  mampu bersendiri tanpa nakhoda. Ambe pewaris natang jalang Chairil Anwar yang terbuang. Tapi darah pejuang Leftenan Adnan mengalir di nyaliku. Melankolis Tongkat Warrant dan kersani Tok Janggut menjalar di nadiku.

Itu pun demo persoalkan. Mahu menjadi warga negeri tetapi kena terima semua ideologi. Mana mungkin ambe melacurkan integriti hanya mahu meraih simpati. Kalau begitu biar sahaja ambe jadi kuli batak, atau tali barut set-set demo asal dapat upahan dan laba yang lumayan. Macam mana, boleh kautim? 

Sungguh kontradik. Kata kalian ambe kena buktikan kesetiaan dan keaslian. Tapi demo juga minta ambe turut faham dan ideologi yang set mung anjurkan. Lalu membantah bila ambe pula sudah punya tarekat sendiri. 

Ambe penganut fahaman penukil terdahulu yang memperjuangkan kebenaran total. Ambe tidak menggunakan pena sebagai alasan untuk berdusta dan berpura-pura. Ambe berpersatuan untuk membina kesatuan. Itu juga yang demo laung-laungkan. 

Ambe masuk politik bukan mahu prolifik. Cukup sekadar membantu marhaen mendapat secebis kain. Tapi kerana kepala itu lahir daripada kakitangan, mereka mahu ambe menjadi suara orang bawahan. Ayuh, masuk sayembara, ujar dan pinta mereka!

Namun ambe dicaras ketika mahu mengatas. Malah puok-puok kalian rancak cah keting profesiku yang mewakili integriti. Tidak mengapa, aku reda kerana statusku yang tidak absah. Namun jadi keliru melihat ego demo yang menyalahkan anugerah Tuhan. Ke utara salah, ke selatan juga dipangkah. Kemudian aku ke timur, juga dibantah. Aduh, peninglah!

Jadi rumusnya, hanya kerana ambe seorang epigoni, disita daripada ke sana sini? Disekat produksi? Malah dicabul hak asasi menukil puisi. Ah, Di mana keadilan dalam dunia hari ini. Ranah sastera yang melaungkan slogan bebas lepas juga sudah tidak punya kebebasan hakiki lagi.  

Nak buat guane, demo ada kuasa.


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.