KUALA LUMPUR, 16 OKT: Enam cip semikonduktor tempatan yang dibangunkan syarikat dalam Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia mempunyai potensi jualan keseluruhan dianggarkan RM300 juta, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata inovasi itu mencerminkan peningkatan keupayaan Malaysia dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), selain aspirasi negara untuk beralih daripada sekadar mengeluarkan produk kepada membangunkan serta memiliki teknologi sendiri.

“Fasa pertumbuhan seterusnya perlu memberi tumpuan kepada penciptaan dan pengekalan nilai yang lebih tinggi menerusi konsep ‘Buatan Malaysia’,” katanya ketika melancarkan enam cip berkenaan pada Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor (AiSEM) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Enam inovasi itu merangkumi pemproses kecerdasan buatan (AI) untuk kamera, robot dan sistem kilang oleh SkyeChip Bhd; penyelesaian storan AI untuk komputer dan pelayan oleh MaiStorage; serta cip tatasusunan get boleh atur cara medan (FPGA) bagi aplikasi industri dan automotif oleh SiliconX.
Turut diperkenalkan ialah pengawal voltan kuasa automotif oleh Infinecs, cip pengawal kuasa untuk satelit dan sistem angkasa oleh Weeroc Space, serta pengawal penerbangan mini bagi sistem autonomi oleh Alphaswift.
Akmal berkata cabaran seterusnya adalah mendapatkan pelanggan, memenuhi keperluan kelayakan industri dan meningkatkan pengeluaran supaya inovasi berkenaan dapat dipasarkan dengan jayanya.
“Inovasi ini membuktikan pasukan Malaysia sedang membangunkan teknologi untuk aplikasi global yang mempunyai keperluan tinggi, dan bukan sekadar menyumbang kepada produk yang direka di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu melihat melangkaui jumlah cip yang dikeluarkan dalam negara, sebaliknya memberi perhatian kepada cip yang direka bentuk secara tempatan, harta intelek yang dibangunkan serta dimiliki syarikat tempatan, dan nilai ekonomi yang kekal dalam negara.
Sementara itu, Akmal berkata Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam reka bentuk IC, pembungkusan termaju serta peralatan pembuatan termaju, selain membangunkan 110 syarikat semikonduktor bernilai tinggi.
Sasaran itu merangkumi 10 syarikat tempatan sedia ada dan 100 syarikat tambahan.
“Strategi ini turut menyasarkan latihan dan peningkatan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia, manakala Program Latihan ARM Atas Permintaan bertujuan melengkapkan 10,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran khusus reka bentuk IC dalam tempoh empat tahun,” katanya.
Menurutnya, kerjasama kerajaan dengan ARM Ltd akan memberi syarikat semikonduktor tempatan akses lebih luas kepada teknologi reka bentuk cip termaju dan harta intelek.

Mengulas usaha memperkukuh industri semikonduktor negara, Akmal berkata Selangor, Sarawak dan negeri lain perlu menyelaraskan usaha serta pelaburan masing-masing dengan memanfaatkan kelebihan tersendiri bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor nasional.
“Sebagai sebuah negara kecil, hala tuju kita adalah untuk saling bergantung pada kekuatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata setiap negeri mempunyai kepakaran dan kelebihan berbeza dalam rantaian nilai semikonduktor, justeru pelaburan di sesebuah negeri boleh memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan jika keupayaan masing-masing diselaraskan dengan baik.
Akmal memberi contoh ekosistem reka bentuk IC di Selangor yang menghimpunkan pemain industri, tenaga mahir, peralatan reka bentuk dan pelaburan, manakala Pulau Pinang, Kedah serta Sarawak mempunyai kelebihan yang saling melengkapi.
Katanya, Malaysia perlu terus membangunkan ekosistem semikonduktor, termasuk memupuk pertumbuhan syarikat pemula dan meluaskan pasaran bagi cip buatan tempatan, supaya industri negara kekal seiring dengan kemajuan teknologi.
“Industri bernilai tinggi dan berpertumbuhan pesat penting untuk meningkatkan sumbangan output pekerja berkemahiran tinggi daripada 31 peratus pada 2025 kepada 35 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13),” katanya.







