PUTRAJAYA, 27 JUN: Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perkara itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.
"Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ia termasuk mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan Jemaah Menteri.
Sementara itu, Amir Hamzah dalam kenyataannya, merakamkan penghargaan terhadap kepercayaan perdana menteri yang memberi mandat kepada beliau untuk membantu tugasan di Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata antara tumpuan utama ketika ini adalah untuk memuktamadkan naskhah RMK-13.
"Banyak maklum balas diterima daripada menteri yang memerlukan rombakan semula inti pati RMK-13 supaya memaparkan dengan terbaik dasar keutamaan kerajaan MADANI serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi MADANI," katanya.
Pada 28 Mei lalu, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025, selepas gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.
- BERNAMA