Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 yang sedang berlangsung, terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, pelabur, komuniti perniagaan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi meneroka peluang pertumbuhan ekonomi serta memperluas kerjasama perniagaan di Selangor.
Dalam kerangka ini, SCOUT Talent Expo 2026 merupakan antara teras penting SIBS 2026 yang memberikan penekanan khusus kepada pembangunan modal insan, padanan bakat dan keperluan tenaga kerja industri.
SCOUT Talent Expo 2026 bukan sekadar platform yang menghubungkan pencari kerja dengan majikan, malah berperanan sebagai ruang untuk mempertemukan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri.
Bagi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, penglibatan dalam inisiatif seperti SCOUT mencerminkan kepentingan menyelaraskan pembangunan bakat dengan strategi pertumbuhan perniagaan dan agenda pembangunan negeri.
Ikuti temu bual Media Selangor bersama Pengurus Besar Pengurusan Bakat & Prestasi MBI, Azuwadaniseh Mohd Zain.
MS: Apakah peluang kerjaya yang ditawarkan oleh MBI Selangor kepada graduan dan pencari kerja melalui SCOUT Talent Expo 2026?
MBI: Kami melihat SCOUT Talent Expo 2026 sebagai platform strategik untuk menghubungkan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan serta keperluan tenaga kerja dalam ekosistem perniagaan Selangor. Sebagai kumpulan pemegang pelaburan strategik, MBI mempunyai portfolio perniagaan yang merangkumi pelbagai sektor komersial dan strategik. Kepelbagaian ini mewujudkan keperluan terhadap bakat dengan pelbagai kompetensi, termasuk bidang teknikal, digital, kewangan, pelaburan, pengurusan perniagaan dan fungsi korporat.
Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif, keupayaan untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan bakat merupakan faktor penting dalam meningkatkan produktiviti, memperkukuh prestasi perniagaan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang. Selaras dengan hala tuju strategik THRIVE28, MBI memberikan penekanan kepada pembangunan bakat, pembentukan budaya kerja berprestasi tinggi dan transformasi organisasi sebagai asas untuk memperkukuh keupayaan kumpulan.
Melalui platform seperti SCOUT, MBI berharap dapat memperluas akses kepada peluang kerjaya dan mengenal pasti bakat yang bersesuaian dengan keperluan organisasi. Namun, kekosongan jawatan sebenar dan proses pengambilan pekerja adalah tertakluk kepada keperluan operasi serta kelulusan setiap entiti dalam Kumpulan MBI.
Di peringkat kumpulan, SPARK 2026 merupakan antara inisiatif yang menterjemahkan komitmen pembangunan bakat kepada pelaksanaan yang lebih konkrit. Melalui penempatan latihan industri yang berstruktur, bimbingan profesional dan tugasan berasaskan projek, program ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan di samping membangunkan saluran bakat berpotensi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja Kumpulan MBI pada masa hadapan.
MS: Apakah kemahiran dan kualiti yang dicari oleh MBI Selangor dalam kalangan calon pekerja, khususnya generasi muda?
MBI: Dalam persekitaran perniagaan yang semakin dinamik, MBI memerlukan bakat yang memiliki gabungan kompetensi teknikal, pemikiran analitikal, kebolehsuaian dan integriti. Kelayakan akademik merupakan asas penting, namun calon juga perlu menunjukkan keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam menyelesaikan masalah praktikal, bekerjasama secara berkesan dan memahami bagaimana sumbangan individu dapat menyokong pencapaian objektif organisasi.
Bagi generasi muda, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberikan perhatian, iaitu kesediaan untuk terus belajar, keberanian memikul tanggungjawab dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan. Ini selaras dengan aspirasi THRIVE28 untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, di samping memupuk budaya inovasi, kecekapan dan prestasi tinggi.
MBI tidak mengharapkan calon yang baru memulakan kerjaya menguasai segala-galanya sejak hari pertama. Sebaliknya, kami menghargai individu yang mempunyai asas kompetensi yang kukuh, sikap profesional dan kesungguhan untuk terus meningkatkan keupayaan diri.
Potensi seseorang akan memberikan nilai yang lebih besar kepada organisasi apabila disertai disiplin, akauntabiliti dan prestasi yang konsisten. Gabungan ciri-ciri ini penting untuk membentuk tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten, malah mampu berkembang seiring dengan keperluan organisasi.
MS: Apakah nasihat MBI Selangor kepada graduan yang ingin membina kerjaya dalam organisasi berkaitan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?
MBI: Nasihat saya, jangan melihat kerjaya dalam GLC semata-mata dari sudut kestabilan pekerjaan. Sebaliknya, lihatlah peluang tersebut untuk membangunkan kepakaran, memahami amalan tadbir urus korporat dan menyumbang kepada penciptaan nilai ekonomi serta sosial. Dalam organisasi seperti MBI, yang menyokong agenda pembangunan negeri melalui pelaburan strategik dan pengurusan portfolio perniagaan, setiap individu perlu memahami hubungan antara tanggungjawab masing-masing, prestasi organisasi dan nilai yang diwujudkan kepada pemegang taruh.
Graduan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang relevan, memahami organisasi yang ingin disertai dan mampu menjelaskan bagaimana kompetensi mereka dapat menyumbang kepada pencapaian objektif perniagaan. Integriti, profesionalisme, akauntabiliti dan keupayaan bekerja dalam persekitaran yang kompleks juga merupakan asas penting dalam membina kerjaya yang mampan.
Pada masa sama, peluang kerjaya tidak seharusnya dinilai berdasarkan jawatan atau gaji permulaan semata-mata. Pendedahan kepada projek strategik, kualiti kepimpinan, peluang pembangunan kompetensi dan laluan kemajuan kerjaya turut memainkan peranan penting dalam perkembangan profesional seseorang.
Kesimpulannya, graduan bukan sahaja perlu mencari tempat untuk bekerja, tetapi juga membina keupayaan yang membolehkan mereka kekal relevan, memberikan nilai dan berkembang bersama organisasi dalam jangka panjang.
MS: Bagaimanakah MBI melihat peranan sektor GLC dan syarikat berkaitan kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan serta membangunkan bakat tempatan?
MBI: GLC memainkan peranan yang melangkaui penyediaan peluang pekerjaan. Melalui pelaburan strategik, pengembangan perniagaan dan pengukuhan keupayaan operasi, GLC berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan produktiviti. Peranan ini berkait rapat dengan hala tuju THRIVE28 dan Group Strategic Blueprint, yang memberikan penekanan kepada prestasi kewangan, pengoptimuman portfolio perniagaan, pendigitalan dan pembentukan budaya kerja berprestasi tinggi.
Sebagai contoh, Selangor Advance (SA500), yang menyokong aliran tunai perniagaan, memperlihatkan kepentingan kepakaran dalam bidang kewangan dan pengurusan risiko. Sementara itu, NINE Super App menggambarkan bagaimana inovasi dalam perkhidmatan digital memerlukan gabungan kemahiran teknologi, pengurusan data dan pemahaman terhadap keperluan pengguna serta pasaran.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa pertumbuhan perniagaan perlu bergerak seiring dengan pembangunan kompetensi tenaga kerja. Sehubungan itu, pembangunan bakat perlu dirancang berdasarkan keperluan sebenar industri dan perubahan persekitaran perniagaan.
MBI turut menguruskan SPARK 2026 (Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents), iaitu inisiatif pembangunan bakat Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan membangunkan saluran bakat (talent pipeline) yang mampan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan negeri.
Program ini menyasarkan pengambilan dan penempatan sekurang-kurangnya 50 orang pelajar latihan industri daripada universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Setiap peserta akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,500 sepanjang tempoh latihan industri. Proses pengambilan dijadualkan bermula pada akhir Oktober 2026, manakala penempatan pelajar akan dilaksanakan mulai November 2026 di syarikat-syarikat milikan Kumpulan MBI.
Melalui pendedahan industri yang berstruktur, bimbingan profesional dan tugasan berasaskan projek, SPARK 2026 bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan di samping mengenal pasti serta membangunkan bakat berpotensi untuk memenuhi keperluan strategik Kumpulan MBI.
Inisiatif ini mencerminkan kepentingan menyelaraskan pembangunan bakat dengan keperluan sebenar organisasi. Perancangan tenaga kerja perlu mengambil kira hala tuju perniagaan, manakala kerjasama antara majikan, institusi pendidikan, penyedia latihan dan agensi kerajaan penting bagi memastikan pembangunan kemahiran memenuhi permintaan industri.
Akhirnya, kejayaan GLC tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan perniagaan semata-mata, tetapi turut mengambil kira keupayaannya membangunkan tenaga kerja yang produktif, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Selangor.
MS: SCOUT menyasarkan ribuan pencari kerja. Bagaimanakah MBI memastikan peluang yang ditawarkan bukan sekadar pekerjaan, tetapi menawarkan gaji dan laluan kerjaya yang baik?
MBI: Kualiti pekerjaan perlu dinilai secara menyeluruh, merangkumi imbuhan yang munasabah, kejelasan tanggungjawab, persekitaran kerja yang kondusif, pembangunan kompetensi dan peluang kemajuan kerjaya. Dari perspektif pengurusan bakat, organisasi perlu mempunyai struktur jawatan yang jelas, sistem imbuhan yang adil, pengurusan prestasi yang berkesan dan kriteria kemajuan kerjaya yang telus. Pekerja juga perlu memahami jangkaan prestasi serta kompetensi yang diperlukan untuk berkembang ke tahap seterusnya.
Pendekatan ini selaras dengan aspirasi THRIVE28 untuk membentuk budaya kerja berprestasi tinggi. Pembangunan bakat perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam keupayaan organisasi, dan bukannya terhad kepada aktiviti pengambilan pekerja semata-mata. Penetapan gaji perlu mengambil kira faktor seperti industri, tahap kemahiran, pengalaman dan tanggungjawab sesuatu jawatan. Paling penting ialah memastikan imbuhan ditentukan secara adil dan bersesuaian dengan nilai pekerjaan, di samping menyediakan peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran serta nilai profesional mereka.
Bagi MBI, kejayaan bukan sekadar diukur berdasarkan bilangan individu yang menerima tawaran pekerjaan. Aspek yang lebih penting ialah sejauh mana pekerjaan tersebut menyediakan asas yang kukuh untuk pembangunan profesional, peningkatan kompetensi dan kemajuan kerjaya dalam jangka panjang.
MS: Bagaimanakah inisiatif seperti SCOUT boleh membantu mengekalkan bakat anak Selangor supaya mereka tidak berhijrah ke negeri atau negara lain untuk mendapatkan pekerjaan?
MBI: Kita perlu mengakui bahawa keputusan kerjaya seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk ketersediaan peluang pekerjaan, tahap imbuhan, prospek perkembangan profesional dan kualiti hidup. Oleh itu, usaha mengekalkan bakat tempatan tidak boleh bergantung pada faktor lokasi semata-mata.
SCOUT berpotensi membantu dengan mendekatkan pencari kerja kepada majikan serta meningkatkan keterlihatan peluang pekerjaan yang tersedia dalam ekosistem ekonomi Selangor. Namun, usaha ini perlu disokong oleh penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pertumbuhan industri yang mampan dan laluan kemajuan kerjaya yang jelas serta meyakinkan.
Dalam konteks Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pembangunan ekonomi yang berdaya saing perlu bergerak seiring dengan pembangunan tenaga kerja yang dinamik dan inklusif. Ini bermakna bakat tempatan perlu diberikan akses kepada pembangunan kemahiran dan peluang untuk mengisi jawatan yang semakin kompleks serta memerlukan kepakaran yang lebih tinggi.
Bagi MBI, pertumbuhan perniagaan dan pembangunan bakat merupakan dua elemen yang saling melengkapi. Organisasi yang berkembang memerlukan tenaga kerja yang kompeten, manakala tenaga kerja memerlukan organisasi yang menyediakan ruang untuk belajar, menyumbang dan maju dalam kerjaya.
Matlamat kita bukan untuk mengehadkan mobiliti bakat, tetapi untuk menjadikan Selangor sebuah destinasi yang semakin menarik bagi membina kerjaya dan masa depan. Hal ini memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta, GLC dan institusi pendidikan bagi memastikan peluang pekerjaan yang berkualiti terus berkembang seiring dengan aspirasi bakat tempatan.
MS: Dalam keadaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) mengubah keperluan tenaga kerja, apakah kemahiran yang perlu diberikan perhatian oleh golongan muda Selangor untuk kekal relevan dalam pasaran pekerjaan?
MBI: Kecerdasan buatan (AI) dan automasi sedang mengubah cara organisasi beroperasi, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan. Sehubungan itu, golongan muda perlu membangunkan gabungan kemahiran digital, keupayaan analitikal dan pertimbangan manusia bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
Pertama, literasi digital dan data perlu diperkukuh. Golongan muda bukan sahaja perlu memahami penggunaan teknologi dan AI, malah perlu menggunakannya secara bertanggungjawab serta mampu menilai ketepatan dan kebolehpercayaan maklumat yang dihasilkan.
Kedua, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan keupayaan membuat keputusan berasaskan bukti akan menjadi semakin penting. Walaupun teknologi mampu mempercepat pemprosesan maklumat, manusia tetap diperlukan untuk memahami konteks, menilai risiko dan membuat pertimbangan yang wajar.
Ketiga, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kreativiti, kolaborasi dan kepimpinan kekal penting. Transformasi digital bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi, tetapi turut memerlukan perubahan dalam cara bekerja, membuat keputusan dan mengurus hubungan dalam organisasi.
Pembangunan NINE Super App sebagai platform yang menghimpunkan perkhidmatan digital negeri merupakan contoh yang relevan dalam konteks MBI. Pembangunan platform sedemikian memerlukan kemahiran teknologi yang disokong oleh pemahaman terhadap keperluan pengguna, pengurusan data dan keselamatan siber. Keupayaan ini juga relevan apabila organisasi meneroka penggunaan AI untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan produktiviti.
Selaras dengan penekanan THRIVE28 terhadap transformasi digital, golongan muda perlu memahami bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah sebenar, meningkatkan kecekapan dan menghasilkan nilai kepada organisasi. Tanggungjawab pembangunan kompetensi bukan terletak pada pekerja semata-mata. Majikan juga perlu menyediakan peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi membantu tenaga kerja sedia ada menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan pekerjaan.
MS: Apakah sektor dan kemahiran yang dijangka paling kritikal diperlukan di Selangor dalam tempoh lima tahun akan datang, khususnya dalam pelaksanaan RS-2?
MBI: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 menetapkan hala tuju pembangunan negeri dengan penekanan kepada kepimpinan ekonomi, pembangunan yang seimbang dan inklusif, tenaga kerja yang dinamik, kemampanan serta tadbir urus yang berkesan. Dalam usaha memperkukuh kepimpinan ekonomi negeri, lima sektor pertumbuhan utama telah dikenal pasti, iaitu elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
Dari perspektif pembangunan bakat, setiap sektor memerlukan kompetensi khusus yang perlu diberikan perhatian:
• E&E dan pembuatan maju: Kejuruteraan, automasi, kawalan kualiti dan analitik data.
• Aeroangkasa dan automotif: Kejuruteraan khusus, kemahiran teknikal, pematuhan standard dan pengurusan rantaian bekalan.
• Ekonomi digital: Kecerdasan buatan, analitik data, keselamatan siber dan pembangunan sistem digital.
• Ekonomi kreatif: Reka bentuk digital, teknologi kreatif, penciptaan kandungan dan pengurusan produk.
Selain sektor pertumbuhan utama tersebut, perkembangan ekonomi hijau turut meningkatkan keperluan terhadap kepakaran dalam pengurusan tenaga, teknologi mampan dan pengurusan projek. Penglibatan Heliosel dalam bidang tenaga solar dan penyelesaian tenaga mampan dalam ekosistem MBI memberikan gambaran tentang bagaimana perkembangan industri mewujudkan permintaan terhadap kemahiran teknikal serta kepakaran khusus.
Merentas semua sektor, pemikiran komersial, pengurusan risiko dan kepimpinan turut menjadi kompetensi penting untuk memastikan pertumbuhan industri dapat diterjemahkan kepada hasil perniagaan yang mampan. Keutamaan ini selaras dengan THRIVE28 yang menekankan transformasi perniagaan, pendigitalan dan pembentukan budaya berprestasi tinggi, di samping menyokong agenda pembangunan negeri di bawah RS-2.
Oleh itu, pembangunan bakat perlu berpandukan keperluan sebenar industri. Pendekatan ini memerlukan penilaian jurang kemahiran, kerjasama rapat dengan majikan dan institusi pendidikan serta perancangan tenaga kerja yang mengambil kira perubahan permintaan pasaran.
MS: Akhir sekali, adakah terdapat sasaran pekerjaan bagi sektor dan bidang kemahiran kritikal ini?
MBI: Di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030, kerajaan negeri menyasarkan nilai ekonomi Selangor mencapai RM600 bilion menjelang 2030, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 6.1%, pelaburan domestik terkumpul sebanyak RM330 bilion serta pengurangan kadar pengangguran kepada 2.2% menjelang 2030.
Sasaran ini merupakan petunjuk pembangunan negeri yang menjadi panduan kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan. Walau bagaimanapun, sasaran tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai komitmen pengambilan pekerja oleh MBI atau jumlah kekosongan yang ditawarkan melalui SCOUT Talent Expo 2026.
Bagi menentukan jumlah pekerjaan baharu mengikut sektor dan bidang kemahiran, rujukan perlu dibuat kepada unjuran rasmi serta mekanisme pemantauan pihak yang bertanggungjawab terhadap perancangan ekonomi negeri.
Dari perspektif pembangunan bakat, pemantauan juga perlu melangkaui jumlah pekerjaan yang diumumkan. Penilaian perlu mengambil kira bilangan peluang pekerjaan yang benar-benar tersedia, tahap penglibatan bakat tempatan dalam mengisi jawatan tersebut, kesesuaian kompetensi calon dengan keperluan majikan serta kualiti pekerjaan dari segi imbuhan dan prospek perkembangan kerjaya.
Bagi MBI, sumbangan kepada agenda ini perlu dilihat melalui pelaksanaan strategi korporat, pengembangan perniagaan, pengukuhan keupayaan tenaga kerja dan penciptaan nilai dalam ekosistem kumpulan.
Kesimpulannya, kejayaan pembangunan ekonomi bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pelaburan atau pekerjaan yang diwujudkan, tetapi juga berdasarkan sejauh mana pertumbuhan tersebut menghasilkan peluang pekerjaan yang berkualiti, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Selangor.









