SEREMBAN, 16 OKT: Punca seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi ialah akibat perselisihan rumah tangga.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 9.30 malam semalam, selepas seorang lelaki tempatan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor memaklumkan mengenai kematian isterinya.
Beliau berkata pemeriksaan awal Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan mendapati mangsa mengalami kecederaan disyaki akibat tikaman dan sebilah pisau serta beberapa barang kes lain dirampas bagi membantu siasatan.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa ialah pegawai kastam yang telah bertukar ke skim perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkuat kuasa 1 Julai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan perubatan Klinik Kesihatan Nilai mengesahkan kematian mangsa.
Alzafny berkata suami mangsa berusia lingkungan 30-an direman hingga 22 Okt bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.







