SHAH ALAM, 29 NOV: Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali berkhidmat dalam pasukan polis di bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Khalid Ismail, berdasarkan notis pertukaran yang dilihat wartawan NSTP.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu ditempatkan di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa KPN.
Notis ditandatangani Khalid itu menyatakan pertukaran berkenaan berkuat kuasa 24 November lalu dengan Shuhaily berpangkat Komisioner Polis (CP), iaitu pangkat yang pernah disandangnya.
Bagaimanapun, Shuhaily enggan mengulas ketika dihubungi wartawan NSTP bagi mendapatkan pengesahan berhubung pertukaran terbabit.
Usaha mendapatkan maklum balas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Khalid turut dilakukan, namun tiada pengesahan rasmi diberikan setakat ini, lapor Berita Harian.
Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), September lalu.
Susulan pertuduhan itu, Saifuddin berkata kementeriannya memutuskan untuk menamatkan penempatan Shuhaily secara pinjaman di AKPS.
Namun, Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander selepas dilaporkan bercuti minggu sebelumnya.
Pada 14 November lalu, Khalid memaklumkan beliau belum menerima sebarang arahan berhubung kepulangan Shuhaily ke pasukan polis dan menjelaskan Shuhaily sedang menjalani kontrak dua tahun menerusi pelantikan Yang di-Pertuan Agong.
Shuhaily sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada 1 Julai tahun lalu.





