SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan sembilan kompaun terhadap tujuh premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan kebersihan dalam operasi pemeriksaan di Pandamaran Jaya, Klang.
MBDK memaklumkan operasi dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran itu melibatkan pemeriksaan ke atas 61 premis bagi memastikan pematuhan terhadap aspek kebersihan dan pengurusan sisa.
Menurutnya, hasil operasi mendapati tujuh premis terbabit melakukan pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUUK) Pengendali Premis Perniagaan dan Penjaja (PPPS) (MPK) 2007.

"Sebanyak enam kompaun dikeluarkan di bawah UUK 11 PPPS (MPK) 2007, manakala dua lagi membabitkan kesalahan di bawah UUK 5 dan UUK 11.
"Satu lagi kompaun dikenakan bagi kesalahan di bawah UUK 6 dan UUK 11 PPPS (MPK) 2007," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, MBDK mengingatkan pemilik premis supaya menjaga kebersihan di dalam serta luar premis termasuk menyediakan tong sampah berkapasiti 240 liter mengikut spesifikasi ditetapkan Majlis.
"MBDK komited memastikan tahap kebersihan premis perniagaan sentiasa berada pada tahap optimum demi menjamin keselesaan dan kesihatan awam," katanya.








