Indonesia terima tawaran bantuan negara jiran padam kebakaran hutan

15 Okt 2026, 3:00 PM
Indonesia terima tawaran bantuan negara jiran padam kebakaran hutan

JAKARTA, 15 OKT: Indonesia meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas, dengan perbincangan teknikal sedang dijalankan untuk menentukan pengaturannya.

Menteri Luar Arrmanatha Nasir berkata Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan cadangan bantuan itu, manakala Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) kini mengadakan perbincangan di peringkat teknikal mengenai pelaksanaannya.

“Bantuan yang ingin diberikan negara jiran telah dibincangkan dan kini sedang diproses.

“Seperti yang kita ketahui, presiden juga telah memberikan kelulusan dan perkara itu kini dibincangkan di peringkat teknikal,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dengan Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta.

Bagaimanapun, Arrmanatha tidak menyatakan negara yang terbabit atau jenis bantuan yang sedang dipertimbangkan.

Malaysia sebelum ini menawarkan untuk mengatur gerak sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 52 anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran itu, dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Sept mengumumkan bahawa Prabowo telah menerima tawaran berkenaan ketika pertemuan mereka di Hambalang, Jawa Barat, sehari sebelumnya.

Singapura turut menyatakan kesediaan untuk membantu Indonesia, dengan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada 10 Okt berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Indonesia, Jumhur Hidayat, untuk menawarkan sokongan dalam usaha menangani kebakaran itu.

Arrmanatha berkata kebakaran berkenaan mendapat perhatian serius Prabowo berikutan kesannya yang ketara terhadap kawasan terjejas akibat jerebu, manakala keadaan cuaca yang mencabar terus menjejaskan usaha memadam kebakaran.

Beliau berkata kira-kira 60,000 anggota telah diatur gerak di enam wilayah keutamaan, dengan sokongan helikopter dan pesawat bagi operasi pengeboman air serta modifikasi cuaca.

Mengenai kerjasama serantau, Arrmanatha berkata Indonesia telah memenuhi kewajipan pelaporan berkala menerusi mekanisme Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) sejak Ogos.

Beliau berkata Indonesia secara berkala berkongsi data mengenai situasi kebakaran, langkah mitigasi dan perkembangan semasa dengan Sekretariat ASEAN yang bertindak sebagai pusat penyelaras sementara. Laporan terkini menunjukkan perkembangan positif termasuk pengurangan jumlah titik panas.

Sementara itu, Ketua BNPB yang baharu dilantik Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi berkata beliau akan terlebih dahulu menilai sumber yang tersedia kepada kerajaan daerah dan pusat, selain bantuan asing yang boleh dipercepat bagi memperkukuh operasi memadam kebakaran.

“Saya akan terlebih dahulu meneliti aset yang tersedia, apa yang sudah boleh kita lakukan di peringkat kerajaan daerah dan pusat serta bantuan dari luar negara yang boleh kita percepat bersama,” katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah di Istana Negara pada Khamis, menurut siaran langsung Sekretariat Presiden.

Kristomei, yang menggantikan Leftenan Jeneral Suharyanto sebagai Ketua BNPB, menegaskan usaha menangani kebakaran memerlukan tindakan bersama membabitkan masyarakat, pentadbiran daerah dan kerajaan pusat, dan bukan hanya bergantung kepada agensi pengurusan bencana itu.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.