Indonesia lulus terima bantuan Malaysia padam kebakaran hutan

16 Okt 2026, 5:04 AM
Indonesia lulus terima bantuan Malaysia padam kebakaran hutan
Indonesia lulus terima bantuan Malaysia padam kebakaran hutan

JAKARTA, 16 OKT: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluluskan penerimaan bantuan negara jiran bagi menangani kebakaran hutan dan tanah gambut yang menyebabkan jerebu menjejaskan beberapa wilayah di negara itu serta rantau Asia Tenggara.

Menurut laporan ANTARA, Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) kini sedang memuktamadkan prosedur operasi dan teknikal bagi membolehkan bantuan berkenaan diterima.

"Perkara itu sudah dibincangkan dan sedang diproses. Seperti yang kita ketahui, presiden sudah memberikan kelulusan," katanya selepas menghadiri mesyuarat di Kompleks Parlimen, semalam.

Menurutnya, Prabowo memantau rapat perkembangan kebakaran yang semakin menjejaskan beberapa wilayah Indonesia serta negara jiran.

Sebelum mendapatkan bantuan serantau, Indonesia sudah menggerakkan sumber domestik secara besar-besaran bagi membendung kebakaran berkenaan.

Sehingga 13 Oktober, seramai 60,177 anggota termasuk pasukan bomba, tentera, polis, pegawai perhutanan dan sukarelawan tempatan dikerahkan untuk operasi pemadaman.

Pesawat dan helikopter turut digunakan bagi melaksanakan operasi pengeboman air dari udara serta pembenihan awan di kawasan berisiko tinggi.

"Langkah yang diambil Indonesia setakat ini adalah tegas dan menyeluruh, mencerminkan komitmen kukuh kami untuk menyelesaikan krisis ini secepat mungkin," kata Nasir.

Pengumuman itu menyusuli tawaran Malaysia untuk membantu Indonesia menangani kebakaran berkenaan.

Dalam pertemuan dengan Prabowo di Hambalang, Jawa Barat pada 18 September lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan bantuan sebuah pesawat, tiga helikopter dan 52 anggota bomba.

Prabowo sebelum ini menyifatkan jerebu sebagai krisis alam sekitar yang memerlukan kerjasama negara serantau.

"Kebakaran berlaku di Indonesia, tetapi kesannya turut dirasai negara jiran. Oleh itu, kami mengalu-alukan sokongan mereka," katanya.

Sementara itu, Nasir mengesahkan Indonesia sudah menyerahkan laporan berhubung usaha membendung kebakaran hutan dan tanah ketika krisis jerebu rentas sempadan terus melanda Asia Tenggara.

"Kami sudah berkongsi semua data operasi, termasuk langkah pembendungan, keadaan di lapangan dan perkembangan semasa," katanya.

Menurutnya, kerangka kerja serantau ASEAN menerusi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) menetapkan keperluan pelaporan khusus kepada negara anggota yang terjejas.

"Indonesia secara konsisten memenuhi semua keperluan pelaporan," katanya.

Nasir berkata operasi pemadaman kebakaran berskala besar turut membantu mengurangkan jumlah titik panas harian di wilayah terjejas, meskipun keadaan cuaca masih menyukarkan usaha berkenaan.

"Laporan terkini menunjukkan kemajuan ketara setiap hari, dengan jumlah titik panas terus menurun. Data operasi terperinci boleh diperoleh daripada Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB)," katanya.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura menggesa usaha pemadaman kebakaran di lapangan dipertingkatkan susulan kemerosotan kualiti udara yang menjejaskan aktiviti masyarakat di kawasan sempadan.

Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu turut menyatakan kesediaan negaranya menyertai kerjasama serantau bagi mengurangkan kesan kebakaran hutan dan tanah di seluruh ASEAN.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.