JAKARTA, 22 OKT: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berikrar membatalkan lesen perniagaan syarikat milik asing yang didapati berulang kali melanggar peraturan sehingga menyumbang kepada kebakaran hutan dan tanah di negara itu.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang menyiasat beberapa syarikat yang disyaki melanggar peraturan pengurusan tanah dan pencegahan kebakaran, dengan penemuan awal menunjukkan pelanggaran berulang kali oleh sesetengah firma.
Menurutnya, sebuah syarikat turut disyaki terbabit dalam kira-kira 19 kes kebakaran hutan.
“Sesiapa sahaja yang melanggar peraturan, batalkan sahaja lesen mereka! Saya tidak teragak-agak,” katanya sambil memaklumkan kerajaan akan mendedahkan nama syarikat terbabit pada masa sesuai.
Prabowo menegaskan semua syarikat yang beroperasi di Indonesia perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan alam sekitar tanpa mengira negara asal mereka.
Beliau turut menggesa pengawasan lebih ketat terhadap pengurusan sumber asli bagi memastikan kawasan hutan dan ladang diurus secara bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.







