Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna

15 Okt 2026, 11:00 AM
Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor perlu memperkukuh integrasi pengangkutan awam bagi memastikan perjalanan rakyat lebih lancar, selamat, mudah dan berpatutan termasuk dari rumah ke stesen atau perhentian bas serta ke destinasi akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), Ramali Abu Bakar berkata meskipun Selangor mempunyai rangkaian pengangkutan yang luas, masih terdapat kelemahan dari segi sambungan perjalanan, akses pejalan kaki, maklumat perjalanan, pertukaran perkhidmatan dan kemampuan tambang.

Katanya, cabaran utama bukan sekadar menyediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan, sebaliknya memastikan setiap perkhidmatan saling melengkapi supaya keseluruhan perjalanan pengguna berjalan lancar.

“Menyediakan perkhidmatan pengangkutan adalah satu perkara, tetapi memastikan keseluruhan perjalanan berjalan lancar ialah perkara yang berbeza.

“Misi kita bukan sekadar menggerakkan kenderaan, tetapi menghubungkan rakyat dengan peluang serta membina wilayah yang lebih saling berhubung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan pada Simposium Mobiliti Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Ramali, rangkaian pengangkutan Selangor merangkumi perkhidmatan rel, bas, Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) dan lebuh raya utama, namun keberkesanannya bergantung pada keupayaan menghubungkan pengguna dengan destinasi masing-masing.

Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah laluan pejalan kaki yang tidak lengkap, maklumat perjalanan yang kurang jelas, sambungan pengangkutan yang terlepas serta tambang keseluruhan yang tinggi apabila pengguna perlu menggunakan beberapa perkhidmatan.

“Walaupun setiap perkhidmatan beroperasi dengan baik, keseluruhan perjalanan masih boleh mengecewakan pengguna. Ini perkara penting yang perlu kita fahami kerana penumpang tidak mempedulikan sempadan antara jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan atau kontrak perkhidmatan.

“Justeru, kita perlu melihat perjalanan dari awal hingga akhir, termasuk laluan pejalan kaki yang selamat ke stesen dan perhentian bas, pertukaran perkhidmatan yang mudah, maklumat yang boleh dipercayai serta tambang yang berpatutan,” katanya.

Beliau menegaskan jumlah penumpang yang tinggi tidak semestinya mencerminkan kemudahan akses untuk semua golongan. Oleh itu, jurang perkhidmatan, laluan pejalan kaki yang tidak tersedia, pertukaran pengangkutan yang sukar dan maklumat yang tidak konsisten perlu ditangani.

Mengulas sasaran Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 60 peratus menjelang 2030, Ramali berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya perancangan mengambil kira keperluan perjalanan sebenar dan kelemahan akses sedia ada.

Katanya, penyelarasan lebih baik antara perkhidmatan sedia ada juga dapat menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih praktikal dan menarik kepada rakyat.

“Jika kita mahu orang ramai menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap, kita perlu melihat keseluruhan perjalanan, mengenal pasti bahagian yang tidak lancar dan memperbaiki kelemahan tersebut,” katanya.

Ramali berkata, sistem mobiliti yang inklusif juga penting bagi memastikan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar dan isi rumah berpendapatan rendah mempunyai akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta kemudahan lain.

Sehubungan itu, beberapa inisiatif termasuk Pusat Mobiliti Selangor dan integrasi data merentas platform sedang dibangunkan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada perancangan dan kelulusan lanjut.

RMSB ialah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menerajui pembangunan dan penyelarasan sistem mobiliti pintar, inisiatif pengangkutan awam serta teknologi hijau di Selangor.

“Misi kita menjelang 2030 bukan sekadar membangunkan sistem mobiliti yang lebih besar, tetapi sistem yang berfungsi dengan lebih baik untuk lebih ramai orang,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.