PETALING JAYA, 13 FEB: Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM) Selangor membantu melahirkan graduan yang bersedia bekerja dalam industri semikonduktor melalui latihan berfokus dan pendedahan antarabangsa.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata kejayaan seorang graduan ASEM yang memperoleh gaji permulaan RM8,000 membuktikan keberkesanan program tersebut.
“Dua minggu lalu, saya dimaklumkan seorang graduan baharu ASEM berjaya mendapat gaji permulaan RM8,000.
“Itu bukan sekadar angka, tetapi satu simbol penghargaan terhadap bakat anak Selangor. Di sini, bakat akan dipertemukan dengan peluang.
“Kami galakkan pelajar terbaik menimba pengalaman di luar negara, tetapi mereka sentiasa dialu-alukan untuk kembali berkhidmat di tanah air.
“Elaun RM10,000 yang disediakan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi sokongan untuk membina masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) antara NXP Malaysia dan Monash University Malaysia bagi kerjasama dalam pendidikan semikonduktor di kampus universiti itu hari ini.
Melalui kerjasama itu, dua mesin industri bernilai RM2 juta disumbangkan kepada Makmal Semikonduktor Monash-NXP bagi membolehkan pelajar menjalani latihan praktikal menggunakan peralatan sebenar sebelum menamatkan pengajian.
Turut hadir Presiden dan Naib Canselor Monash University Prof Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Ketua Operasi Pemasangan NXP Malaysia SW Wong dan Ketua Sekolah Kejuruteraan Monash University Prof Anthony Guo.
Sze Han berkata kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri penting untuk memastikan pelajar mendapat kemahiran yang menepati keperluan pasaran.
“Peralatan ini bukan sekadar mesin, tetapi tanda kepercayaan kami terhadap kemampuan pelajar untuk berjaya,” katanya.
ASEM yang merupakan sebahagian daripada ekosistem semikonduktor Selangor setakat ini telah merekrut 261 jurutera serta menyediakan peluang pekerjaan tempatan bertaraf antarabangsa, selain berusaha membawa pulang bakat Malaysia yang bekerja di luar negara termasuk di syarikat seperti MediaTek dan TSMC.


