KLANG, 14 OKT: Polis Klang Selatan menjalankan penilaian tahap keselamatan di tapak pembinaan Taman Tema Magika, Mangrove Point, Pelabuhan Klang bagi mengurangkan risiko kecurian dan pencerobohan.
Menurutnya, penilaian itu memberi tumpuan kepada keselamatan aset, mesin, peralatan dan bahan binaan yang disimpan di tapak projek.
“Kajian ini penting bagi mengenal pasti potensi kelemahan keselamatan lebih awal, khususnya melibatkan penyimpanan mesin, peralatan dan bahan binaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Polis Klang Selatan memaklumkan usaha itu turut membabitkan kerjasama dengan pihak pengurusan tapak pembinaan bagi mengurangkan risiko kehilangan harta benda serta memastikan persekitaran kerja kekal selamat dan terkawal.
“Pendekatan pencegahan akan terus dipergiat secara proaktif melalui pemantauan, penilaian risiko dan kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan demi memastikan keselamatan harta benda serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya.
Lawatan dan penilaian keselamatan berkenaan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Klang Selatan (BPJKKD), Deputi Superintendan Dr Sharifah Mohd Nawani.
Turut hadir Penyelia Tapak Landasan Lumayan Sdn Bhd Mohd Shaharin Said bersama beberapa pegawai dan anggota polis daripada BPJKKD Klang Selatan.







