SIBS edisi ke-10 fokus pelaburan berkualiti, inovasi dan kerjasama serantau

14 Okt 2026, 1:14 AM
SIBS edisi ke-10 fokus pelaburan berkualiti, inovasi dan kerjasama serantau
SIBS edisi ke-10 fokus pelaburan berkualiti, inovasi dan kerjasama serantau
SIBS edisi ke-10 fokus pelaburan berkualiti, inovasi dan kerjasama serantau
SIBS edisi ke-10 fokus pelaburan berkualiti, inovasi dan kerjasama serantau

SHAH ALAM, 14 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) edisi ke-10 yang bermula hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan dan perniagaan serantau, susulan peluasan penganjurannya ke Indonesia buat kali pertama.

Persidangan selama empat hari hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menyasarkan potensi nilai transaksi RM8 bilion serta sekurang-kurangnya 500 sesi padanan perniagaan berimpak tinggi bagi menarik pelaburan berkualiti dan memperluas kerjasama industri.

Dianjurkan Invest Selangor Berhad, SIBS tahun ini menampilkan tujuh segmen utama yang merangkumi pelaburan, pembuatan termaju, semikonduktor, teknologi, ekonomi penjagaan dan pembangunan bakat.

Antara segmen yang diketengahkan ialah Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Forum Pelaburan Selangor (SIF), Sidang Kemuncak Selangor TechSphere (STS), Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) dan Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor (AiSEM@Selangor), selain program sokongan lain.

Dua komponen baharu turut diperkenalkan tahun ini, iaitu STS dan program pembangunan bakat Selangor Career Outreach (SCOUT) yang bertujuan membangunkan bakat tempatan serta memadankan pencari kerja dengan keperluan industri di Selangor.

Meraikan penganjuran edisi ke-10 tahun ini, SIBS mengukuhkan kedudukannya sebagai antara ekspo perniagaan terbesar negara yang menghimpunkan pelabur, peneraju industri, pembuat dasar, pengilang dan usahawan untuk meneroka peluang perniagaan serta membentuk kerjasama strategik.

Platform itu turut mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan dan pintu masuk ke pasaran ASEAN.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata, SIBS bukan sahaja menyasarkan penjanaan potensi transaksi, malah berperanan membangunkan ekosistem menyeluruh bagi industri strategik termasuk semikonduktor, aeroangkasa, automotif, industri digital dan kreatif serta ekonomi penjagaan.

Menurutnya, penganjuran itu menyokong matlamat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menerusi pemerkasaan kerjasama industri, pelaburan langsung asing dan modal teroka bagi membangunkan sektor strategik negeri.

“Setiap kerjasama dan perjanjian yang dimeterai menerusi SIBS bertujuan menyumbang kepada aspirasi lebih besar Selangor untuk menjadi model pembangunan ekonomi dan kualiti hidup ASEAN menjelang 2030,” katanya.

Kejayaan peluasan pasaran serantau itu turut menyusuli penganjuran sulung SIBS@ASEAN di Bandung, Indonesia, pada Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, penganjuran sulung itu menarik lebih 400 peserta dari Selangor dan Jawa Barat, dengan pameran memberi tumpuan kepada sektor pendidikan dan pelancongan perubatan.

Forum perniagaan yang diadakan bersempena program itu pula menampilkan perbincangan mengenai industri aeroangkasa, rel dan mobiliti, elektrik dan elektronik serta industri kreatif dan teknologi.

Peserta yang menyertai forum itu turut menyatakan minat untuk meneroka peluang perniagaan di Jawa Barat.

Majlis pelancaran SIBS 2026 dijadual disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari petang ini. Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad antara tetamu yang dijangka hadir.

Sejak diperkenalkan pada 2015 sebagai Ekspo Antarabangsa Selangor, SIBS berkembang menjadi platform perdagangan dan perniagaan utama negara.

Potensi nilai transaksi persidangan itu meningkat daripada kira-kira RM200 juta pada peringkat awal kepada RM13.85 bilion pada 2024, dengan jumlah kumulatif potensi transaksi mencecah RM30.56 bilion.

Pada tahun lalu, SIBS merekodkan potensi transaksi RM8.17 bilion. Persidangan itu turut menghimpunkan lebih 1,081 penceramah dan menerima lebih 23,000 peserta persidangan sepanjang penganjurannya, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform dialog industri dan jaringan perniagaan serantau.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.