BANGI, 14 OKT: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) melancarkan resolusi Sumud Protokol yang menetapkan rangka kerja tindakan selama 12 bulan bagi memperkukuh tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus menyokong usaha SNCC memperjuangkan hak rakyat Palestin sehingga keadilan dan kebebasan dapat ditegakkan.
“Kita tidak boleh benarkan mereka terus dijajah. Saya dan rakan-rakan sentiasa menyokong langkah rakan-rakan dalam Sumud Nusantara. Saya merayu rakan-rakan supaya terus bekerja dan beri sedikit khidmat tenaga.
“Amat mengaibkan sekali kalau kita tidak dapat melakukan apa-apa. Satu usaha sekecil mana pun untuk kita bantu rakyat yang mengalami penyeksaan selama lebih 70 tahun,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Makan Malam Sumud Nusantara.
Majlis makan malam sempena Kongres Global Sumud 2026 itu diadakan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini malam tadi, dan disertai kira-kira 1,000 aktivis dari 43 negara.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Sementara itu, Sani berkata Sumud Protokol merupakan satu resolusi dengan rangka kerja selama 12 bulan untuk terus melawan kekejaman rejim Zionis, selain memastikan usaha solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin diteruskan secara tersusun dan berterusan.
Menurutnya, perjuangan Sumud Protokol juga perlu dijadikan sebagai agenda nasional bagi mengupayakan golongan belia menjadi barisan hadapan dalam melawan propaganda yang dicipta musuh menerusi alam maya.
“Hari ini kita akan melancarkan resolusi Sumud Protokol, yang mengarah kepada aksi, yang akan kita susun dalam tempoh 12 bulan untuk lihat sejauh mana kita dapat tenggelamkan semua yang berlaku.
“Kita mahu lakukan sesuatu yang boleh diapdatasi di Parlimen. Rejim yang kita hadapi ini adalah rejim yang tersusun. Mereka ini bekerjasama dengan sekutu-sekutunya,” katanya.









