SHAH ALAM, 13 OKT: Lelaki warga Myanmar etnik Rohingya direman tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Oktober bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia di Kampung Behor Mali, Kangar.
Suspek berusia 38 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar pada jam 9.46 pagi sebelum dibawa keluar selepas prosiding permohonan reman selesai pada jam 10.09 pagi.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan di sebuah rumah di Kuala Perlis pada jam 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, polis turut merampas telefon pintar berserta sekeping kad SIM dalam serbuan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal tiada pengakuan diperoleh daripada suspek yang mendakwa hanya mengetahui mengenai kejadian penemuan rangka itu melalui kumpulan aplikasi WhatsApp sahaja.
“Suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau serta Kota Sarang Semut, Kedah, sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Yusharifuddin berkata semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2022, namun ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif penyalahgunaan dadah.
Pada 29 September lalu, media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Mohd Ilyas Mohd Islam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes itu bermula dengan penemuan rangka tulang manusia dalam bungkusan guni reput di kebun berhadapan kilang beras di Kampung Behor Mali pada 26 Julai lalu dan pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, penemuan guni putih kedua mengandungi sisa tulang manusia di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kira-kira 31.1 meter dari lokasi pertama pada 5 Ogos, menyebabkan polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







