ISTANBUL, 12 OKT: Kebakaran tercetus di Terminal 4 Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad selepas terkena projektil yang tidak dikenal pasti, lapor Anadolu Ajansi memetik pakatan diketuai Arab Saudi.
Dalam kenyataan, pakatan itu memaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang menangani kebakaran berkenaan, tanpa memberikan butiran mengenai tahap kerosakan atau sama ada terdapat sebarang korban.
Dalam kenyataan susulan, pakatan itu mengumumkan bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan sebuah misil krus berhampiran lapangan terbang berkenaan.
Bagaimanapun, pakatan itu tidak menjelaskan sama ada misil yang dipintas mempunyai kaitan dengan projektil yang mengenai terminal berkenaan atau mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Insiden itu berlaku sehari selepas serangan di lapangan terbang sama mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut angka yang dikeluarkan pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi antara malam Sabtu dan awal Ahad.
Pihak berkuasa itu pada Sabtu mengumumkan operasi di lapangan terbang berkenaan digantung sementara sehingga penilaian kerosakan dan pemeriksaan keselamatan terhadap kemudahannya selesai, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa berkaitan.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid turut menjadi sasaran dua serangan pada Khamis, 8 Okt, masing-masing menyasarkan kemudahannya dan sebuah pesawat Saudi Arabian Airlines.
Pihak berkuasa penerbangan pada Jumaat memaklumkan serangan itu mengorbankan tiga warga Arab Saudi serta mencederakan beberapa rakyat dan penduduk pelbagai kewarganegaraan, selain menyebabkan kerosakan harta benda.
Serangan terdahulu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan King Khalid pada 6 dan 7 Okt, mengorbankan tiga penduduk masing-masing warga Maghribi, Algeria dan Sudan serta mencederakan 36 yang lain, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.
Insiden terbaharu itu menjadikan jumlah serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid sejak Selasa kepada lima dalam tempoh seminggu, menurut kiraan Anadolu berdasarkan kenyataan rasmi Arab Saudi.
Pihak berkuasa Arab Saudi belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan, namun kumpulan Houthi pada Khamis mengumumkan bahawa mereka menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dengan misil balistik.







