1,500 golongan rentan Gombak terima bantuan Aidilfitri RM750,000

8 Mac 2026, 1:00 PM
1,500 golongan rentan Gombak terima bantuan Aidilfitri RM750,000
1,500 golongan rentan Gombak terima bantuan Aidilfitri RM750,000

GOMBAK, 8 MAC: Seramai 1,500 golongan rentan di Parlimen Gombak menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM750,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di tiga lokasi hari ini iaitu Masjid At-Taqwa Selayang Baru, Dewan Beringin Taman Seri Gombak dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU5.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan tersebut melibatkan 500 penerima bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Gombak iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang dengan setiap daripadanya menerima RM500.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media ketika penyampaian Sumbangan hari raya bagi golongan rentan Dun Sungai Tua di Masjid Selayang Baru pada 8 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Ini merupakan program tradisi yang telah dilaksanakan bertahun-tahun lalu dan kita agihkan mengikut DUN iaitu DUN Sungai Tua, DUN Gombak Setia dan DUN Hulu Kelang.

“Setiap DUN ini ada 500 penerima, jadi keseluruhan yang menerima adalah 1,500 orang dengan peruntukan RM750,000.

“Harapan pihak MBI dan Kerajaan Negeri supaya sumbangan ini dapat membantu mereka dalam persiapan perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi atau boleh digunakan untuk perbanjaan harian, sekolah dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di Masjid At-Taqwa Selayang Baru hari ini.

Sementara itu, pesara, Mohd Fadzil Desa, 51, berkata sumbangan berkenaan sangat membantu beliau membeli barangan makanan untuk juadah hari raya.

Mohd Fadzli Desa 51 ketika Majlis penyampaian Sumbangan hari raya bagi golongan rentan Dun Sungai Tua di Masjid Selayang Baru pada 8 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Saya sudah bersara sejak tiga tahun lalu dan kini hanya bergantung kepada pencen ilat kira-kira RM1,300 sebulan. Jadi sumbangan ini sangat membantu, terutama untuk membeli bahan masakan seperti rendang, kuih raya dan keperluan lain,” katanya.

Bagi peniaga makanan, Nurul Fathiah Mazlan, 36, sumbangan tersebut membantu menampung persiapan Aidilfitri memandangkan beliau turut menanggung kedua ibu bapanya yang sudah berusia.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli juadah raya. Saya juga bercadang memberikannya kepada ibu bapa kerana saya menanggung mereka.

“Saya berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana masih ramai yang memerlukan,” katanya.

Fatimah Ibrahim 64 ketika Majlis penyampaian Sumbangan hari raya bagi golongan rentan Dun Sungai Tua di Masjid Selayang Baru pada 8 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Bagi warga emas, Fatimah Ibrahim, 64, sumbangan diterima membantu beliau membeli baju raya untuk empat cucu yang berada di bawah jagaannya.

“Saya jaga empat cucu berusia antara 13 hingga 17 tahun. Jadi saya cadang untuk belikan baju raya mereka, juga guna untuk beli lauk untuk masak pada Hari Raya,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Azri berkata Yayasan MBI meneruskan pelaksanaan program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4 juta merangkumi sumbangan kepada masjid dan surau, bantuan kepada kumpulan rentan, sumbangan kurma dan kuih raya, selain pelbagai program bagi mengimarahkan Ramadan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.