822 tiang pintar akan dipasang, pacu ekosistem digital Kota Kinabalu

11 Okt 2026, 5:06 AM
822 tiang pintar akan dipasang, pacu ekosistem digital Kota Kinabalu

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 822 unit tiang pintar (Smart Pole) dan tiang pelbagai guna (Multi-Purpose Pole) akan dipasang di sekitar Kota Kinabalu menerusi Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan projek itu bertujuan memperkukuh infrastruktur digital selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam bagi memenuhi keperluan penduduk.

"Pelaksanaan projek ini dijangka memperkukuh ketersambungan digital, keselamatan awam selain meningkatkan keupayaan pihak berkuasa tempatan menangani cabaran bandar seperti pengurusan lalu lintas dan pemantauan persekitaran.

"Kemudahan digital yang lebih baik turut dijangka dapat menyokong pertumbuhan perniagaan setempat dan membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching meninjau perkembangan awal projek berkenaan yang bermula pada 6 Ogos lalu, hasil kerjasama strategik antara SKMM dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Selain pemasangan tiang pintar dan tiang pelbagai guna, projek itu turut merangkumi pembangunan rangkaian gentian optik, kemudahan Wi-Fi awam serta Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (NOCC).

Menurut SKMM, NOCC yang sedang dibangunkan akan berfungsi sebagai pusat pemantauan dan penyelarasan pelbagai sistem bandar bagi menyokong operasi DBKK secara menyeluruh.

"SKMM komited untuk terus bekerjasama dengan DBKK bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital dilaksanakan mengikut perancangan serta disepadukan secara berkesan bagi memenuhi keperluan bandar raya yang semakin berkembang," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.