Individu disyaki muat naik kandungan hina agama Islam disiasat

10 Okt 2026, 2:02 PM
Individu disyaki muat naik kandungan hina agama Islam disiasat

SHAH ALAM, 10 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan di Facebook yang disyaki menghina agama Islam.

Kandungan berkenaan dikaitkan dengan penggunaan perkataan “lighad” yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

SKMM berkata, kandungan dimuat naik individu terbabit didakwa mempersenda ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Susulan itu, SKMM merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kandungan yang dimuat naik menerusi platform media sosial tersebut.

"Satu unit telefon bimbit serta eSIM turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, SKMM menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab.

Agensi berkenaan turut mengingatkan pengguna media sosial supaya menghormati sensitiviti agama dalam setiap kandungan yang dikongsikan.

SKMM menekankan kepentingan memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama ketika menggunakan kebebasan bersuara di platform digital.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.