Pengecualian duti hiburan rancakkan industri filem, tingkat pulangan penerbit

10 Okt 2026, 9:45 AM
Pengecualian duti hiburan rancakkan industri filem, tingkat pulangan penerbit
Pengecualian duti hiburan rancakkan industri filem, tingkat pulangan penerbit
Pengecualian duti hiburan rancakkan industri filem, tingkat pulangan penerbit

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pengecualian penuh duti hiburan bagi tayangan filem tempatan di Wilayah Persekutuan, membolehkan penerbit menikmati hasil jualan tiket yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata langkah yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu, berpotensi merancakkan industri filem tempatan dan memperkukuh ekonomi kreatif negara.

Beliau berkata pengecualian itu membolehkan penerbit menikmati hasil jualan tiket yang lebih tinggi, sekali gus menyokong kelangsungan penerbitan filem tempatan.

“Alhamdulillah, FINAS menyambut baik pengumuman ini yang dilihat sebagai perkembangan positif kepada industri filem tempatan, dalam merancakkan aktiviti industri dan memperkukuh ekonomi jingga yang diterajui Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berharap kerajaan negeri lain turut mengecualikan duti hiburan bagi filem tempatan, dengan FINAS dan pengusaha pawagam merancang mengadakan perbincangan bagi menjelaskan sumbangan industri filem kepada sektor kreatif serta perniagaan lain, melalui perbelanjaan penonton pawagam.

“Kita tahu filem seperti ‘Blood Brothers’ dan ‘Polis Evo’ mampu mencatat kutipan hingga RM50 juta, namun sebahagian daripada kutipan itu perlu dibayar sebagai duti hiburan. Pengecualian penuh membolehkan penerbit menikmati pulangan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmir menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh ekosistem animasi tempatan, dengan menyasarkan penghasilan 20 harta intelek (IP) baharu serta pengkomersialan watak tempatan di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata FINAS telah mengemukakan cadangan bagi membangunkan ekosistem animasi, mengembangkan potensi industri serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju animasi di Asia Tenggara.

“Kita sudah ada ‘Upin & Ipin’, ‘BoBoiBoy’ dan ‘Mechamato’. Insya-Allah, kita mahu menghasilkan lebih banyak IP yang mampu mencapai kejayaan serupa.

“Animasi bukan sahaja menjana pendapatan menerusi filem dan televisyen, malah mempunyai potensi besar melalui penjualan produk berjenama atau barangan dagangan. Pembangunan bakat, latihan dan penggunaan teknologi juga penting bagi memastikan industri ini kekal berdaya saing,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.