Drama Madu atau Racun: iQIYI turunkan enam episod, baki ditangguh

2 Sep 2026, 1:16 PM
Drama Madu atau Racun: iQIYI turunkan enam episod, baki ditangguh

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod drama Madu atau Racun yang telah disiarkan manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas bersama iQIYI dan syarikat produksi berkenaan atas arahan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata iQIYI dan penerbit turut memohon maaf, menerima teguran, pandangan FINAS serta panel penilai bagi menambah baik kandungan drama berkenaan.

“Pihak iQIYI dan penerbit bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini serta bersetuju menurunkan sementara episod yang telah dimuat naik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Bangunan Utama FINAS Hulu Kelang di sini hari ini.

Azmir berkata suntingan akan dibuat berdasarkan garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi kandungan penstriman OTT (over-the-top) sebelum kesemua 12 episod dinilai panel berkenaan.

Beliau berkata tiada tempoh khusus ditetapkan untuk drama itu dimuat naik semula kerana ia bergantung kepada pihak produksi dan iQIYI mengemukakan versi baharu untuk dinilai.

“Selepas panel berpuas hati dengan versi yang dipaparkan, barulah ia dibenarkan untuk tontonan umum,” katanya.

Azmir juga berkata aspek penapisan dan kandungan bukan di bawah tanggungjawab agensi itu berdasarkan Akta FINAS, yang antara lain merangkumi aktiviti penggambaran, kawal selia pekerja dan syarikat produksi serta pelesenan pawagam.

Beliau berkata ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengawal selia Internet serta stesen televisyen manakala kerangka kawal selia bagi kandungan OTT masih dalam proses penggubalan.

Azmir berkata FINAS bagaimanapun mempunyai punca kuasa menerusi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), yang perlu diperoleh syarikat produksi di Malaysia termasuk bagi kandungan untuk platform antarabangsa, OTT dan YouTube.

Beliau berkata FINAS sedang meneliti kemungkinan memasukkan syarat tambahan dalam SPP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat produksi sekiranya kandungan yang dihasilkan menimbulkan keresahan atau menjejaskan sensitiviti agama, kaum dan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya menolak penayangan drama berkenaan dan kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Drama 12 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd dan arahan Eyra Rahman itu yang dibintangi Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha mula ditayangkan di iQIYI pada 14 Ogos lepas.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.