PUTRAJAYA, 10 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menumpukan kepada kebajikan murid dan guru, selain penyelenggaraan serta pembinaan sekolah baharu menerusi peruntukan hampir RM69 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara keutamaan kementerian ialah meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Elaun Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Menurut kementerian itu, aspek kebajikan dan profesionalisme guru turut diberikan perhatian bagi memastikan kesejahteraan warga pendidik terus terpelihara, selaras dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.
"KPM komited untuk melaksana dan menterjemahkan peruntukan hampir RM69 bilion yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2027, sekali gus menyokong wawasan Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan projek penyelenggaraan dan pembinaan sekolah baharu turut menjadi fokus utama kementerian itu.
Peningkatan peruntukan berkenaan bukan sekadar mencerminkan komitmen kerajaan terhadap sektor pendidikan, malah amanah besar yang perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan berkesan dan memberikan manfaat secara langsung kepada murid, guru serta seluruh warga pendidikan.
"Sehubungan dengan itu, KPM akan memperkukuh gerak kerja secara berfokus dan berimpak tinggi bagi memastikan setiap peruntukan dapat dimanfaatkan secara optimum berdasarkan keutamaan dan keperluan pemegang taruh KPM," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan semua inisiatif Belanjawan 2027 dibuat berlandaskan tadbir urus kewangan yang cekap dan berintegriti.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KPM kekal terima peruntukan tertinggi, hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion tahun ini.
Antara fokus ialah peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion.
Anwar berkata peruntukan bagi sekolah kebangsaan (SK) meningkat kepada RM900 juta, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada RM100 juta dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) kepada RM50 juta.
Selain itu, hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri turut mengumumkan BAP ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027 yang bakal memanfaatkan 5.3 juta murid dengan peruntukan RM1 bilion.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju untuk memberikan elaun sara hidup kepada pelajar tingkatan enam berjumlah RM2,500.







