KUALA LUMPUR, 9 OKT: Indonesia mengenal pasti 198 suspek individu dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis melibatkan syarikat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu di Malaysia.
Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis melibatkan individu, manakala Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah.
Kawasan konsesi yang terbakar itu meliputi 33,514.01 hektar, membabitkan 16 entiti perniagaan di Sumatera dengan keluasan 3,813.85 hektar dan 41 di Kalimantan meliputi 29,700.16 hektar.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Kehutanan Indonesia turut mengenakan tindakan pentadbiran terhadap 26 pihak, merangkumi pembatalan lima permit perniagaan, penggantungan 13 permit serta lapan amaran bertulis atau arahan pemulihan.
Sebanyak 46 subjek undang-undang juga dilaporkan terlibat dalam pengendalian kes jenayah, dengan 17 berada pada peringkat siasatan awal dan 27 lagi pada peringkat penyiasatan, termasuk lima syarikat dan 22 individu.
Ia menambah bahawa kerajaan Indonesia terus mempergiat operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah untuk meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan.
Katanya, kerajaan Indonesia menggerakkan anggota tentera, polis, pasukan pemadam kebakaran hutan Manggala Agni, agensi pengurusan bencana serta sukarelawan masyarakat.
Selain itu, operasi modifikasi cuaca, “water bombing” dan pembasahan semula tanah gambut dan penyediaan tanah tanpa pembakaran juga dilaksanakan untuk tujuan itu.
KBRI berkata Indonesia mengalu-alukan usaha memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan negara sahabat dalam menangani kebakaran hutan dan tanah serta jerebu rentas sempadan.
Perwakilan Indonesia di Malaysia juga akan terus membantu melancarkan komunikasi dan pertukaran maklumat berkaitan usaha menangani kebakaran berkenaan.








