KUALA LUMPUR, 20 OKT: Guthrie menafikan dakwaan bahawa anak syarikat atau pekerjanya mencetuskan kebakaran hutan di Indonesia, dengan menegaskan pemeriksaan terkini di lapangan tidak mengesan kebakaran aktif di mana-mana ladang syarikat itu di negara berkenaan.
Syarikat berkenaan dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan juga tidak menemukan bukti kebakaran berpunca daripada anak syarikat atau pekerjanya manakala beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Guthrie dalam laporan awam sebenarnya tidak dimiliki, diurus atau dikawal oleh kumpulan itu.
“Dakwaan terhadap Guthrie menurut laporan itu juga tidak berasaskan bukti yang kukuh dan bercanggah dengan hasil pemeriksaan terkini di lapangan,” menurut kenyataan itu.
Guthrie memaklumkan syarikat itu melaksanakan Dasar Sifar Pembakaran di seluruh kawasan operasinya sejak 1985, selain berpegang pada komitmen Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Tanah Gambut dan Tanpa Eksploitasi.
Antara langkah pencegahan yang dilaksanakan termasuk pemantauan paras air secara masa nyata, kawalan kelembapan tanah gambut, program pencegahan kebakaran bersama masyarakat serta latihan pengurusan tanah secara bertanggungjawab untuk pekebun kecil dan petani tempatan.
Menurut Guthrie, anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran dengan kekuatan 1,005 anggota terlatih, disokong teknologi dron dan pemantauan inframerah yang meliputi kawasan konsesi serta kira-kira 322,000 hektar tanah masyarakat di sekitarnya.
“Guthrie memperuntukkan kira-kira 3.5 bilion Rupiah (RM800,000) sebulan untuk menyelenggara dan menggerakkan sumber-sumber itu,” menurut kenyataan itu.
Antara Januari hingga September 2026, pasukan pemadam kebakarannya menangani dan memadamkan 2,411 kebakaran, termasuk 2,376 di tanah masyarakat setempat, menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia.
Guthrie menegaskan tindakan membantu memadamkan kebakaran di luar kawasan operasi tidak seharusnya dianggap sebagai bukti syarikat itu mencetuskan kebakaran.
Syarikat itu turut mendakwa laporan berkenaan berkemungkinan menggunakan peta Hak Guna Usaha (HGU) lama yang tidak mencerminkan status pemilikan atau sempadan operasi semasa, selain mengandungi maklumat tidak tepat mengenai usia pokok kelapa sawit di kawasan kebakaran.
Menurut kenyataan itu, pokok-pokok berkenaan masih muda dan produktif, justeru tiada keperluan bagi Guthrie membakar kawasan itu untuk tujuan pembersihan tanah.
Guthrie memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan di Indonesia, selain menggesa pembetulan dibuat terhadap data atau maklumat pemilikan yang tidak tepat serta memastikan setiap dakwaan disokong bukti yang boleh dipercayai.






