Indonesia dianggar rugi lebih RM30 bilion akibat kebakaran hutan

18 Okt 2026, 5:19 AM
Indonesia dianggar rugi lebih RM30 bilion akibat kebakaran hutan
Indonesia dianggar rugi lebih RM30 bilion akibat kebakaran hutan
Indonesia dianggar rugi lebih RM30 bilion akibat kebakaran hutan

JAKARTA, 18 OKT: Indonesia dianggarkan mengalami kerugian ekonomi lebih RM30 bilion (Rp 167 trilion) akibat kebakaran hutan dan tanah sepanjang 2026 hingga pertengahan Oktober, menurut kajian seorang pakar ekonomi yang dilaporkan Kompas.com.

Pakar ekonomi makro, penganalisis dasar dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Teguh Yudo Wicaksono berkata, kerugian itu berpotensi meningkat kepada Rp 204 trilion(RM46 bilion) sekiranya kebakaran berterusan sepertimana pada 2015 dan 2019.

“Anggaran itu merupakan hasil kajian yang menggunakan data dan kaedah pengiraan berasaskan kajian Bank Dunia, bukannya angka rasmi kerugian yang diterbitkan kerajaan,” katanya dipetik Kompas.com.

Menurut pengiraan tersebut, kerugian lebih RM30 bilion itu bersamaan kira-kira 0.65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Indonesia pada 2026.

Sementara itu, unjuran kerugian sepanjang musim kebakaran yang mencecah kira-kira RM37 bilion dianggarkan bersamaan 0.79 peratus daripada KDNK negara itu.

Teguh berkata, kajian berkenaan menggunakan kaedah pemindahan manfaat (benefit transfer) dengan merujuk penilaian kerosakan dan kerugian akibat kebakaran pada 2015 yang dilakukan Bank Dunia.

Berdasarkan kajian lepas, kerugian akibat kebakaran pada 2015 berjumlah 221.4 trilion rupiah (sekitar RM40 bilion) bagi kawasan terbakar seluas 2.61 juta hektar. Nilai berkenaan kemudian diselaraskan mengikut perubahan harga sehingga 2026, menghasilkan anggaran kerugian kira-kira 119.7 juta rupiah bagi setiap hektar.

BACA LAGI: Jerebu: Apa yang ASEAN buat dan mengapa terus berulang selepas hampir 30 tahun?

Dari segi sektor, pertanian dianggarkan menanggung kerugian terbesar, iaitu sekitar 50 trilion rupiah (RM9 bilion), diikuti sektor perhutanan dan pelepasan karbon yang masing-masing dianggarkan mengalami kerugian sekitar 41 trilion rupiah (RM7.4 bilion).

“Kerugian sektor perhutanan dianggarkan mencapai Rp 41 triliun, sedangkan kerugian yang dikaitkan dengan pembebasan karbon juga sekitar Rp 41 triliun. Perhitungan nilai karbon menggunakan andaian harga 5 dollar AS per tan,” katanya.

Teguh menjelaskan, kesan kebakaran bukan sahaja melibatkan kemusnahan kawasan hutan dan kehilangan hasil pengeluaran, malah turut menjejaskan kegiatan ekonomi, perjalanan, pelancongan serta biodiversiti.

“Ada juga kesan kesihatan jangka panjang dan kerugian yang dialami negara jiran belum dimasukkan dalam anggaran tersebut,” katanya.

Kebakaran dan jerebu yang menyusul turut mengganggu kehidupan masyarakat apabila kira-kira 1.43 juta murid dilaporkan mengikuti pembelajaran dari rumah setakat 1 September 2026.

Selain itu, sebanyak 283,270 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) direkodkan di kawasan terjejas sehingga 13 Oktober lalu, manakala model Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) menganggarkan kira-kira 1,700 kematian akibat pendedahan kepada jerebu pada Ogos 2026.

Teguh turut mengingatkan bahawa musim kebakaran masih belum berakhir, dengan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) menjangkakan musim hujan bermula pada November hingga Disember ini.

Beliau berkata, ketidakpastian mengenai keluasan tanah gambut yang terbakar juga menyukarkan penilaian kesan keseluruhan kebakaran pada tahun ini.

Kebakaran hutan tahun ini menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dengan Malaysia dan Singapura paling teruk terjejas. Malaysia mula menutup sekolah bergantung kepada kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dimaklumkan secara harian.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.