SHAH ALAM, 9 OKT: Penduduk desa bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik menerusi peruntukan RM2.3 bilion bagi projek jalan desa tahun depan, meningkat berbanding RM1.3 bilion pada 2022.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek prasarana asas desa, termasuk pemasangan lampu jalan, kemudahan komuniti serta bekalan air dan elektrik.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan pemasangan lampu jalan solar di kampung dan panel solar bumbung di rumah kebajikan serta rumah ibadat.
“Bekalan elektrik turut ditambah baik di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion bagi memperkukuh ketersambungan internet di seluruh negara menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara Kedua (JENDELA).
Anwar berkata usaha itu akan diperluas tahun depan dengan memberi tumpuan kepada penyediaan liputan 4G di semua kampung Orang Asli.
“Setakat ini kita telah berjaya meliputi Wi-Fi di semua kampus universiti awam dan 4G di kawasan Felda.
“Tahun hadapan tumpuan kita adalah meliputi kampung Orang Asli dengan 4G, selain memastikan ketercapaian internet di 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer landasan kereta api serta pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM),” katanya.







