Beli dalam talian: AKPK syor tunggu 24 hingga 48 jam sebelum ‘checkout’

22 Ogos 2026, 2:00 AM
Beli dalam talian: AKPK syor tunggu 24 hingga 48 jam sebelum ‘checkout’
Beli dalam talian: AKPK syor tunggu 24 hingga 48 jam sebelum ‘checkout’

SHAH ALAM, 22 OGOS: Orang ramai disaran menangguhkan keputusan membeli-belah dalam talian antara 24 hingga 48 jam sebelum membuat pembayaran, khususnya bagi barangan yang bukan keperluan.

Pegawai kanan Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berkata ia membolehkan pengguna menilai semula barangan itu diperlukan atau sekadar kehendak.

Menurut Noor Hidayah Shafiee, langkah itu juga membantu pengguna menenangkan emosi sebelum membuat keputusan, terutama ketika berdepan promosi dan tawaran menarik di platform dalam talian.

"Masukkan dahulu barang yang ingin dibeli ke dalam troli, kemudian biarkan seketika.

"Selepas tempoh itu, tanya semula kepada diri sama ada barang tersebut benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi emosi ketika itu," katanya.

Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Noor Hidayah Shafiee ditemu bual pada 12 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor yang membincangkan topik 'Bila Emosi Menguasai Dompet', baru-baru ini.

Jelasnya, pembelian dalam talian yang boleh dilakukan pada bila-bila masa melalui telefon, sekali gus menjadikan pengguna lebih mudah membuat keputusan membeli tanpa berfikir panjang.

Noor Hidayah berkata keadaan itu menyebabkan ramai memindahkan emosi seperti tekanan, kebimbangan atau keletihan kepada tindakan membeli-belah sebagai jalan mendapatkan kelegaan segera.

"Kalau dahulu kita perlu ke kedai untuk membeli sesuatu barang. Sekarang ini, duduk sahaja di rumah, baring atas katil atau hanya melalui telefon pintar, kita sudah boleh membuat pembelian pada bila-bila masa.

"Apabila emosi menguasai diri, ramai akan mencari jalan paling cepat untuk mendapatkan rasa lega dan pembelian dalam talian menjadi pilihan kerana ia sangat mudah dilakukan," katanya.

'Self-reward' tidak salah, tetapi bukan alasan untuk boros

Beliau berkata amalan memberi ganjaran kepada diri sendiri bukanlah sesuatu yang salah, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk berbelanja secara berlebihan.

Jelasnya, ramai menggunakan alasan penat bekerja, tertekan atau mahu menghargai diri sendiri untuk menghalalkan pembelian, sedangkan tindakan itu hanya memberi kepuasan sementara.

Foto Arkib Selangorkini

"Ramai membeli kerana mahu mengisi semula emosi apabila berasa penat atau tertekan. Hakikatnya, rasa lega itu hanya sementara, tetapi komitmen kewangan akibat pembelian tersebut akan terus ditanggung," katanya.

Pembelian kecil yang berulang lebih berbahaya

Dalam pada itu, Noor Hidayah berkata masalah kewangan selalunya bukan berpunca daripada pembelian yang mahal, sebaliknya pembelian kecil berulang sehingga menghakis simpanan tanpa disedari.

Beliau berkata sikap menganggap sesuatu pembelian sebagai "murah sahaja" menyebabkan ramai tidak menyedari jumlah wang yang dibelanjakan semakin bertambah dari semasa ke semasa.

"Kesihatan kewangan jarang terjejas disebabkan satu pembelian yang mahal. Apa yang lebih membimbangkan ialah pembelian kecil yang dilakukan berulang kali.

"Sedikit demi sedikit wang digunakan untuk perkara yang tidak diperlukan sehingga akhirnya simpanan tidak bertambah, malah dana kecemasan juga gagal diwujudkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai mengamalkan disiplin kewangan dengan menilai setiap pembelian secara rasional dan tidak membiarkan emosi mengatasi pertimbangan.

"Apabila kita berjaya menangguhkan pembelian, kita sebenarnya memberi peluang kepada diri untuk membuat keputusan yang lebih baik.

"Matlamatnya bukan menghalang orang berbelanja, tetapi memastikan setiap wang yang dibelanjakan benar-benar memberi nilai dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan pada masa hadapan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.