PKS perlu tumpu mutu produk, elak saingi harga dalam talian

9 Okt 2026, 2:00 AM
PKS perlu tumpu mutu produk, elak saingi harga dalam talian
PKS perlu tumpu mutu produk, elak saingi harga dalam talian

SHAH ALAM, 9 OKT: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran tidak bersaing dengan peniaga dalam talian dari segi harga sebaliknya memberi tumpuan kepada mutu produk, perkhidmatan dan kebolehpercayaan pelanggan.

Presiden PKS Malaysia Chin Chee Seong menjelaskan tawaran promosi, baucar, potongan harga dan penghantaran percuma yang kerap dibuat peniaga dalam talian menambah tekanan ke atas harga.

Beliau berkata kebanyakan PKS bersaiz kecil dan kekurangan kuasa membeli atau dana pemasaran terhad berbanding jenama besar atau peniaga dalam talian yang sedia kala kukuh.

“Margin keuntungan mereka sudah sedia ketat, jadi mereka tidak boleh bersaing secara berterusan dengan menurunkan harga. Sebab itulah saya percaya PKS tidak patut bersaing semata-mata atas dasar harga.

"Mereka (PKS) perlu membezakan diri mereka menerusi mutu produk, perkhidmatan, kebolehpercayaan, pengkhususan dan pengalaman pelanggan sambil menggunakan pemasaran digital secara praktikal dan menjimatkan kos,” katanya kepada Media Selangor.

Chee Seong berkata PKS juga berdepan cabaran kenaikan kos pemasaran dalam talian dan pengiklanan digital lantaran pemilikan kedai dalam talian atau pelantar e-dagang belum tentu membawa pembeli secara automatik.

“PKS perlu melabur dalam pemasaran untuk wujudkan keterlihatan (visibility), bina jenama dan paling penting, raih keyakinan pengguna terhadap pelantar serta produk mereka.

“Tentu ada cara dengan kos lebih rendah untuk menjangkau pengguna melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram. PKS harus memanfaatkan saluran itu dengan baik.

“Namun, cipta kandungan, buat kempen dan bina kehadiran dalam talian secara konsisten perlukan masa, tenaga kerja dan kemahiran,” katanya yang merujuknya sebagai kos pemasaran.

Keselesaan jadi pilihan pengguna

Ditanya sebab utama pengguna tertarik membeli dalam talian, beliau berkata keselesaan faktor terkuat pengguna ke dalam talian selain perbandingan harga, promosi dan produk lebih luas.

“Pengguna boleh bandingkan produk, semak ulasan, cari promosi dan selesaikan pembelian dalam masa beberapa minit tanpa perlu berjalan, cari tempat letak kenderaan atau beratur panjang.

“Ketelusan harga juga satu faktor utama kerana pelantar dalam talian memudahkan perbandingan harga antara penjual berbeza,” katanya.

Chee Seong menjelaskan pengguna juga kian sensitif terhadap faktor masa terutama dalam membuat pembelian produk rutin dan berisiko rendah.

“Jika pembelian itu bersifat rutin dan berisiko rendah, pengguna akan bertanya kepada diri sendiri: Mengapa perlu luangkan masa satu atau dua jam untuk keluar sedangkan boleh beli dalam beberapa minit sahaja?

“Ini bermakna peruncit fizikal mesti menyediakan alasan lebih kukuh kepada pelanggan untuk membuat perjalanan tersebut (ke premis fizikal),” kata Chee Seong.

Ketua Bahagian Peruncitan Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia pula berkata perubahan corak membeli-belah bergantung kepada tawaran keselesaan, nilai dan tahap keyakinan.

Marcus Chew menjelaskan pengguna kini bersifat "bebas saluran" (channel-neutral) ekoran pembeli yang sama bergerak antara dua pilihan itu berbanding lima tahun lalu.

“Mereka mungkin temui produk di media sosial, bandingkan harga di pelantar e-dagang, kunjungi kedai fizikal untuk rasai sendiri pengalaman gunakan produk, akhirnya buat pembelian melalui saluran yang beri gabungan kemudahan, nilai dan keyakinan terbaik,” kata beliau.

Katanya, kepesatan beli-belah dalam talian bukan bermakna premis fizikal akan lenyap ekoran pengguna lebih bertujuan apabila mengunjungi kedai dan menghendaki lebih dari sekadar produk.

“Kedai fizikal perlu sediakan pengalaman, perkhidmatan, kepercayaan, penemuan produk dan interaksi sesama manusia,” katanya sambil menambah masa depan sektor peruncitan bergantung kepada penyepaduan antara kedua-duanya secara berkesan.

“Pengguna akan tetap mengunjungi pusat beli-belah untuk makanan dan minuman, perkhidmatan kecantikan dan kesejahteraan, hiburan, riadah keluarga, demonstrasi produk, peruncitan berasaskan pengalaman, acara dan jenama.

“Pusat beli-belah bukan sekadar ruang urus niaga semata-mata. Ia juga tempat untuk keluarga meluangkan masa bersama, rakan-rakan berkumpul, orang ramai menjamu selera, kanak-kanak bermain dan orang ramai berhimpun.”

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.