KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan esok memberi berita gembira kepada seluruh warga sukan negara, termasuk atlet, jurulatih serta pembangunan sistem sukan secara keseluruhan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohamed Taufiq Johari berkata peruntukan yang bakal diumumkan diharap dapat terus memperkukuh pembangunan sukan negara selain memastikan kebajikan atlet diberi perhatian bukan sahaja ketika masih aktif tetapi juga selepas persaraan.
“Harapan kita adalah Belanjawan kali ini akan memberikan satu berita gembira untuk semua warga sukan, daripada atlet, jurulatih dan seluruh sistem sukan negara untuk terus maju ke hadapan dan menjadikan satu kebanggaan untuk Malaysia.
“Yang paling penting juga adalah kebajikan atlet. Kita nak pastikan bukan sahaja kebajikan ketika dia menjadi atlet, tetapi juga selepas atlet itu telah bersara ataupun selesai memberikan servis yang terbaik untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bernama Radio Fokus 30 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Dr Mohamed Taufiq berkata pembangunan belia turut menjadi antara fokus utama KBS, khususnya dalam membantu golongan belia yang tidak bekerja, tidak mengikuti pendidikan atau latihan (NEET) serta golongan belia rentan.
“Harapan juga adalah untuk anak muda belia, khususnya anak muda belia NEET (Not in Employment, Education and Training), anak-anak muda rentan, anak muda yang perlukan masa depan yang baik untuk mereka.
“Itulah harapan kita supaya Belanjawan kali ini fokusnya kepada pembangunan belia secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas sama ada KBS memohon peruntukan tambahan bagi penganjuran Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia, beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan esok.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan KBS akan memastikan penganjuran temasya itu berlangsung dengan teratur dan menjadi antara penganjuran terbaik.







