SHAH ALAM, 8 OKT: Pembayaran insentif kepada pesawah berdasarkan hasil pengeluaran yang diperoleh merupakan antara penambahbaikan sektor tanaman padi yang wajar dipertimbang menjelang pembentangan Belanjawan 2027 esok.
Pensyarah perniagaan tani dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Hanis Izani Abdul Hadi berkata cadangan bayaran insentif itu dilihat lebih berkesan dalam membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi negara berbanding bantuan kewangan secara 'one-off'.
“Kalau bagi bantuan secara one off ini impak keberkesanannya agak kurang. Antara yang boleh dipertimbangkan adalah pemberian bayaran insentif berasaskan hasil pengeluaran padi yang diperoleh.
“Sebagai contoh, pesawah yang dapat hasil lebih 4 tan, akan terima bayaran insentif. Cadangan ini mungkin tidak popular tapi ia lebih bersasar dan dapat bantu pesawah yang berjiwa keusahawanan,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Hanis turut mencadangkan kerajaan mengapungkan harga beras putih tempatan bagi membantu mestabilkan semula bekalan beras putih tempatan dalam pasaran.
Jelasnya, kawalan harga yang dilaksanakan kerajaan ketika ini mengakibatkan pengilang menyimpan stok beras tempatan dan tidak mengedarkannya kepada pemborong.
Menurutnya, kesan kenaikan harga beras putih tempatan kepada kumpulan berpendapatan rendah boleh dikurangkan dengan kerajaan menambah bantuan tunai kepada kumpulan yang terjejas itu atau menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Daripada kerajaan hanya menaikkan harga lantai, kerajaan juga boleh mengapungkan harga beras. Tidak perlu tetapkan harga siling. Pada saya, ini lebih realistik untuk membantu semua pihak.
“Sebab kita sebagai pengguna, harga siling ini ditetapkan untuk bantu pengguna. Tetapi sebelum ini kita tidak beli dengan harga murah pun. Kebanyakan kita sekarang beli beras import,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM2.62 bilion untuk pesawah sekali gus menjadikan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merangkumi pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah seperti subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih serta insentif pengeluaran padi.









