SHAH ALAM, 8 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat seorang individu kerana disyaki menyebarkan kandungan palsu di media sosial yang mengaitkan dua kes kematian pelajar di Malaysia dan Indonesia.
SKMM memaklumkan hantaran dimuat naik pada 5 Oktober lalu itu mengaitkan kematian seorang murid lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dengan kes kematian Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.
Menurutnya, tindakan mengaitkan dua kejadian berasingan itu menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap sistem persekolahan di Malaysia.
"Susulan itu, SKMM mengambil rakaman percakapan individu terbabit pada 7 Oktober bagi membantu siasatan.
"Telefon bimbit berserta kad SIM yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita," katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
SKMM menegaskan penyebaran kandungan palsu bukan sahaja mencetuskan kekeliruan masyarakat, malah berpotensi mengguris perasaan dan sensitiviti keluarga serta rakan mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak kesahihan maklumat dan sumber sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial.
SKMM turut mengingatkan pengguna supaya menghormati sensitiviti pihak terkesan serta menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.






