KDEBWM sedia pertingkat operasi kutipan sisa di venue SUKMA

30 Jun 2026, 10:00 AM
KDEBWM sedia pertingkat operasi kutipan sisa di venue SUKMA
KDEBWM sedia pertingkat operasi kutipan sisa di venue SUKMA
KDEBWM sedia pertingkat operasi kutipan sisa di venue SUKMA

SHAH ALAM, 30 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) bersedia mempertingkat operasi kutipan sisa pepejal di semua venue penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 susulan jangkaan pertambahan kehadiran atlet, penyokong dan pengunjung.

Pengarah Urusannya Dato' Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya sudah membuat unjuran keperluan di setiap lokasi pertandingan, termasuk mengenal pasti venue yang dijangka menerima kehadiran pengunjung tertinggi sepanjang temasya berlangsung.

"Kita telah membuat kiraan dan menjangkakan akan berlaku pertambahan populasi di lokasi tertentu seperti Stadium Bola Sepak dan Pusat Akuatik Darul Ehsan di Seksyen 13.

"Jika perlu, kita akan menambah tong Roll-On Roll-Off (Roro) atau tong Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter serta meningkatkan frekuensi kutipan.

"Contohnya di Stadium Panasonic, apabila berlangsung pertandingan dengan kehadiran ramai pengunjung dan peniaga, sudah tentu jumlah sampah juga akan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn Bhd bagi memperkukuh ekosistem pengurusan sisa elektronik (e-sisa) di ibu pejabat KDEBWM, di sini semalam.

Menurut beliau, jadual kutipan sedia ada akan diteruskan sepanjang temasya, manakala kutipan tambahan akan dilaksanakan di lokasi yang merekodkan peningkatan sisa bagi memastikan kebersihan kawasan pertandingan sentiasa kekal bersih.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato' Ramli Mohd Tahir (kiri), bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif TM Enviro Industries Sdn Bhd, P Theevan selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn Bhd di ibu pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 29 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR

"Jadual yang wajib memang kita akan kekalkan, cuma kita akan buat tambahan berdasarkan pertambahan sampah yang dijangkakan di banyak venue.

"Pada majlis pembukaan, penutupan serta acara pada Sabtu dan Ahad, sudah tentu akan berlaku pertambahan lambakan sampah. Namun, kita bersedia dan semua perancangan telah digerakkan," ujarnya.

Ramli berkata, KDEBWM tidak bercadang menambah bilangan pekerja, sebaliknya akan mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada melalui peningkatan produktiviti selain memastikan kemudahan kutipan sentiasa mencukupi.

"Saya tidak rasa kita perlukan pekerja tambahan. Apa yang penting ialah meningkatkan produktiviti pekerja sedia ada. Mungkin kita boleh mempertimbangkan bayaran kerja lebih masa atau elaun sebagai motivasi supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti.

"Kalau satu tong Roro tidak mencukupi, kita akan tambah lagi satu. Jika tong sudah penuh, kita akan tarik dan gantikan dengan tong baharu supaya kawasan tidak kelihatan bersepah. Kita juga berharap orang ramai bersama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata," katanya.

Beliau berkata jumlah sebenar atlet dan penyokong yang hadir dari seluruh negara sukar dijangka, namun pihaknya menganggarkan jumlah sisa di setiap venue berpotensi meningkat sehingga sekali ganda berbanding hari biasa.

"Insya-Allah, kita bersedia menghadapi keadaan itu," katanya.

Selangor akan menjadi tuan rumah SUKMA ke-22 dari 15 hingga 24 Ogos ini dengan pertandingan berlangsung di kesemua sembilan daerah negeri ini, kecuali acara berbasikal trek yang akan diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Temasya PARA SUKMA pula dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 September 2026.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.