MBI pacu keutamaan RS-2 menerusi projek berdaya maju, boleh dikembangkan

7 Okt 2026, 12:00 PM
MBI pacu keutamaan RS-2 menerusi projek berdaya maju, boleh dikembangkan

SHAH ALAM, 7 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan keutamaan ekonomi dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) kepada projek yang boleh dilabur, dilaksanakan dan dikembangkan.

Antara bidang diberi keutamaan ialah keselamatan air, infrastruktur digital, kehidupan bandar, aeroangkasa, pembuatan dan pembangunan bakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato’ Saipolyazan M. Yusop berkata MBI akan menggembleng aset negeri, syarikat di bawahnya, modal swasta dan rakan strategik bagi menyokong pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato' Ts Saipolyazan M Yusop ketika program Bicara Semasa di Media Selangor pada 6 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Secara praktikal, ini bermaksud mempercepat pendigitalan, menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pembangunan, membangunkan bakat masa depan serta menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk fasa pertumbuhan Selangor seterusnya.

“Pada masa sama, MBI akan memainkan peranan menterjemahkan Misi 1 dan 2 kepada projek yang boleh dilabur, memperkukuh kepimpinan ekonomi dan memperluas peluang ke semua sembilan daerah di Selangor,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.

Saipolyazan berkata pencapaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menunjukkan negeri ini mampu menetapkan keutamaan pembangunan yang jelas dan mencapai sasaran lebih baik daripada ditetapkan.

Antara 2021 hingga 2024, Selangor merekodkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.9 peratus, melebihi sasaran 7 peratus.

Dalam tempoh sama, negeri ini memudah cara pelaburan bernilai RM61 bilion dan menyediakan 3.9 juta pekerjaan.

Pada 2025, Selangor menyumbang 26.5 peratus kepada KDNK Malaysia dengan nilai ekonomi RM460.1 bilion, manakala pelaburan berjumlah RM101 bilion direkodkan pada 2024.

Sebuah pesawat diletakkan di luar fasiliti penyelenggaraan pesawat dan enjin KarbonMRO Services Sdn Bhd ketika pelancarannya di Skypark RAC, Lapangan Terbang Subang pada 8 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tumpuan jangka panjang aeroangkasa

Menurut Saipolyazan, antara fokus jangka panjang MBI ialah memperkukuh ekosistem aeroangkasa Selangor dengan sasaran meletakkan negeri ini sebagai hab penerbangan serantau.

Katanya, kira-kira 70 peratus ekosistem aeroangkasa Malaysia berada di Selangor, merangkumi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) hingga pembuatan aeroangkasa bernilai tinggi.

“Kita mempunyai Sepang Aircraft Engineering, aktiviti sokongan dan penyelenggaraan pesawat di Subang, AirAsia Group, penyelenggaraan asas serta MRO helikopter di Subang. Jadi kita juga sedang bergerak ke segmen aeroangkasa bernilai tinggi.

“Collins Aerospace, sebagai contoh, melabur AS$63 juta atau kira-kira RM257.5 juta di fasilitinya di Subang untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan sebagai hab serantau.

“GE Aerospace pula menyokong lebih 50 syarikat penerbangan di seluruh dunia dan mempunyai 700 pekerja mahir di Malaysia.

“UMW Aerospace pula mempunyai kilang di Serendah dan menyediakan perkhidmatan bagi program enjin Rolls-Royce,” katanya.

Beliau berkata MBI turut membangunkan Selangor Aero Park (SAP) seluas 243 hektar di KLIA Aeropolis.

Daripada jumlah itu, 40 hektar pertama sudah diperuntukkan kepada GE Aerospace bagi aktiviti MRO dan operasi berkaitan.

Saipolyazan berkata MBI juga telah menandatangani perjanjian bagi kawasan seluas kira-kira 1,214 hektar bersebelahan SAP yang dirancang untuk menyokong aktiviti logistik aeroangkasa dan rantaian bekalan.

Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Taman Aero Selangor @KLIA Aeropolis di Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.