ADN Kajang saran operasi bersepadu tangani anjing liar

12 Okt 2026, 12:00 AM
ADN Kajang saran operasi bersepadu tangani anjing liar
ADN Kajang saran operasi bersepadu tangani anjing liar

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Negeri disaran melaksanakan operasi bersepadu di seluruh Selangor bagi menangani isu anjing liar yang masih berlarutan dan mengancam keselamatan orang ramai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata operasi secara menyeluruh itu lebih berkesan berbanding tindakan berasingan mengikut kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana anjing liar boleh berpindah ke kawasan lain.

“Kita usahakan operasi satu Selangor sekali tangkap. Kalau tidak, bila kita tangkap di Kajang, ia lari ke Semenyih. Tangkap di Semenyih, ia lari ke tempat lain,” katanya dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor.

Beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri menyediakan kawasan khas berpagar di atas tanah milik kerajaan bagi menempatkan anjing liar yang ditangkap, selain mengasingkan anjing jantan dan betina untuk mengawal pembiakan.

“Ambillah sedikit tanah, lima ekar berpagar supaya selepas dapat tangkap, betina dan jantan kita asingkan. Kalau tidak, haiwan ini setahun tiga kali beranak, sekali beranak lima enam ekor,” katanya.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan semua PBT di negeri ini diarahkan menyediakan peruntukan khusus tahun depan bagi memperluas program pemandulan sebagai langkah mengawal pembiakan anjing liar secara lebih sistematik.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata usaha itu bertujuan mengurangkan dan mengawal pembiakan anjing liar sebelum masalah berkenaan dapat diatasi secara berperingkat.

Menurutnya, program itu akan dilaksanakan dengan lebih kerap menerusi kerjasama PBT, ahli majlis, ADN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak veterinar.

Mengulas lanjut, David berkata isu anjing liar perlu diberi perhatian serius kerana bukan sahaja mengganggu ketenteraman penduduk, malah turut meningkatkan risiko kemalangan.

“Saya harap bolehlah selesaikan isu ini secepat mungkin. Kalau tidak memang sangat teruk. Ramai orang sebab mengelak anjing, jatuh digilis lori. Anak pula kena kejar anjing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan berkenaan dipertimbangkan dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi membolehkan isu anjing liar ditangani secara lebih terancang dan menyeluruh dalam jangka panjang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.