MyEG perlu lunas tunggakan sebelum permohonan sambung operasi dipertimbang

7 Okt 2026, 10:25 AM
MyEG perlu lunas tunggakan sebelum permohonan sambung operasi dipertimbang

KUALA LUMPUR, 7 OKT: MyEG Services Bhd (MyEG) perlu melunaskan sepenuhnya tunggakan bayaran kepada kerajaan sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasinya boleh dipertimbangkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan kekal dengan pendirian tegas bahawa tunggakan berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan berkaitan perkara itu diberi pertimbangan.

“Kita berpegang kepada apa yang telah dinyatakan sebelum ini. Kita sedang menunggu bayaran itu.

“Sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi boleh dipertimbangkan, bayaran berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Bayaran Kadar Khas bagi Rumah Ibadat dan Sekolah Bantuan Modal di Menara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri M. Jana Santhiran.

Pada 5 Okt lepas, Loke memaklumkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 Sept.

Menurut Loke, tindakan itu diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan terbabit walaupun 35 peringatan telah diberikan, selain beberapa siri libat urus diadakan oleh pihak berkuasa sejak Mei lepas.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.